Kem Tentera Bersekala Besar Perlu Dibina Di Lahad Datu – Shafie

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menekankan pembinaan kem tentera menempatkan sekurang-kurangnya satu batalion pegawai dan anggota perlu disegerakan di Lahad Datu bagi menangani insiden penculikan yang sering berlaku di kawasan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata cadangan itu perlu diberikan keutamaan kerana dikenal pasti pendekatan paling berkesan bagi meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan pantai timur negeri ini.

Katanya, Kerajaan Sabah tidak berdepan masalah untuk menyediakan tapak bagi membina kem tentera itu, malah ada banyak lokasi bersesuaian dan strategik di sana.

“Sudah banyak kali kita cakap, perlu dibina kem tentera di sana dan ia diperlukan segera. Kita memahami kekangan kewangan yang dihadapi tetapi sepatutnya bukan hanya soal pengurusan diambil kira, malah soal keselamatan juga perlu dipertimbangkan.

“Kita juga sering suarakan bukan kita tidak memerlukan batalion di Lok Kawi atau Kota Belud tetapi kita perlu lihat keperluannya. Ini akan kita bangkitkan lagi di Parlimen kerana isu keselamatan sangat penting,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Hari Sungai Antarabangsa Peringkat Sabah, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Datuk Ir Yahiya Awang Kahar.

Kenyataan Mohd Shafie sebagai mengulas insiden penculikan terbaharu membabitkan tiga nelayan warga Indonesia yang dilaporkan berlaku di perairan Tambisan, Lahad Datu semalam.

Katanya, sudah tiba masa Kerajaan Pusat memberikan keutamaan terhadap cadangan itu sejajar dengan kehendak rakyat negeri ini, lebih-lebih lagi gesaan untuk menempatkan kem tentera di Lahad Datu.

“Dari dulu lagi cadangan ini disebut. Kita akui kem di sini (pantai barat) perlu, namun perlu juga ada di sana (pantai timur). Ia bukan soal tanah tapi soal keutamaan dalam konteks keselamatan. nampak di sana ada batalion (tentera), pasti dapat timbulkan ketakutan kepada musuh.

“Ia untuk menjaga kedaulatan negara dan kita juga mahu pastikan sektor pelancongan tidak terjejas kerana di Lahad Datu juga ada tumpuan pelancong. Walaupun sudah ada penempatan anggota tentera di sana, namun jumlah kecil. Kehadiran tentera kita perlu ketara bagi menimbulkan perasaan takut dalam kalangan penjenayah rentas sempadan,” katanya.

Mohd Shafie sebelum ini pernah mencadangkan supaya Kem Lok Kawi, di sini dipindahkan ke pantai timur Sabah kerana kawasan berkenaan lebih memerlukan infrastruktur ketenteraan untuk meningkatkan tahap keselamatan berbanding di pantai barat.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *