Pembinaan Jambatan Labuan Mula Buka Tender RFP Hujung Tahun Ini

KOTA KINABALU: Projek Pembinaan Jambatan Menumbok-Labuan yang akan dikendalikan dibawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dijangka akan dibuka bagi tender Permintaan Untuk Cadangan (RFP) pada penghujung tahun ini.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata, projek yang dianggarkan bernilai RM3-4 bilion itu akan melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 10km yang menghubungkan Menumbok dengan Pulau Daat, Labuan.

Beliau berkata, setakat ini terdapat tujuh pihak menyatakan minat untuk menghantar RFP dan beliau amat berharap banyak pelabur berminat untuk melabur dalam projek jambatan yang sudah dipohon sejak bertahun lamanya itu.

Katanya, projek ini dijangka akan mulakan pembinaan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang setelah segala proses selesai.

Menurutnya, projek itu akan dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menerusi PFI.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengetuai Gabungan Dewan-Dewan Perniagaan Labuan mengadakan Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini pada Isnin.

Rozman berkata, apabila jambatan itu siap kelak, ia bukan hanya akan membangunkan sektor pelancongan di Labuan tetapi, akan membolehkan industri lain berkembang pesat. Maka, usaha menjadikan labuan sebagai hab-halal dan hab-perikanan mungkin akan dapat direalisasikan.

Mengenai kesukaran melakukan penerbangan langsung ke Labuan, beliau berkata, penerbangan langsung ke Labuan boleh dilakukan cuma ia akan mengambil masa bagi mendapatkan kelulusan Tentera Udara Malaysia. Isu ini lebih kepada perundangan.

Katanya, beliau memang berharap akan ada penerbangann langsung dari bandar besar di Asean ke Labuan dan hasrat itu boleh dilakukan dengan mewujudkan pakej pelancongan yang menghubungkan China-KK-Labuan.

Misalnya, pelancong boleh menaiki penerbangan dari China ke Kota Kinabalu dan seterusnya ke Labuan.

Katanya, usaha itu boleh dilakukan sekiranya pembangunan Labuan terus berkembang dibawah pemerintahan kerajaan yang ada pada hari ini.

Mengenai kunjungan hormat itu, Rozman berkata, beliau ada mengemukakan beberapa permintaan kepada Ketua Menteri mengenai beberapa keperluan di Labuan yang perlu dilihat.

Katanya, Ketua Menteri juga memberi jaminan, ekonomi Labuan antara yang akan dilihat dalam perancangan pembangunan Sabah pada masa hadapan.

Antaranya permintaan itu termasuk keperluan menambah ramp feri kedua di Menumbok; keperluan membenarkan nelayan Labuan memasuki perairan Pantai Barat Sabah, pelebaran jajaran Lebuh Raya Pan Borneo sehingga ke Beaufort-Menumbok-Labuan.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *