Shafie Harap Tuntutan Royalti 20 Peratus Minyak Dan Gas Diambil Kira Dalam Belanjawan 2020

Iain lo, Pengerusi Shell Malaysia memberikan taklimat kepada Shafie  Apdal. Turut kelihatan ialah  Pengurus Shell Sabah Preetipal Singh.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah meletakkan harapan yang tinggi agar tuntutan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus akan dapat diambil kira dalam Belanjawan 2020.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, royalti minyak dan gas 20 peratus itu antara janji yang dibuat dalam manifesto Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, jika dilihat pembayaran royalti 20 peratus itu tidaklah sebanyak mana berbanding keuntungan yang diperolehi selama ini oleh syarikat minyak dan gas.

”Bagaimanapun kita dalam perbincangan berterusan dengan mereka (Kerajaan Persekutuan) tentang cara terbaik untuk merealisasikan tuntutan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus ini,” katanya ketika ditanya mengenai harapan Kerajaan Sabah dalam pembentangan Belanjawan 2020 oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, Kerajaan Sabah memerlukan kewangan yang banyak untuk membangunkan negeri yang agak jauh ketinggalan dari aspek prasarana ini.

”Harapan kita bukan hanya apa yang dibincangkan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat direalisasikan tetapi, kita juga mahu isu royalti minyak ini dapat dilihat kerana Sabah antara negeri pengeluar minyak dan gas utama di Malaysia.

”Walaupun kita memahami kekangan kewangan dihadapi kerajaan namun, Sabah memerlukan kewangan untuk membangunkan prasarana.

”Jadi kita perlu melihat bagaimana pendekatan yang boleh diambil supaya dapat meletakkan sektor ini (minyak dan gas) sebagai sektor yang mampan agar dapat menarik banyak pelabur,” ujarnya.

Beliau berkata, pelaburan yang dibuat bukan hanya perlu melihat keuntungan semata-mata sebaliknya, perlu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah.

Mohd Shafie berkata, Kerajaan Sabah perlu mendapat manfaat daripada sektor yang memperolehi hasil yang besar ini.

”Ini menjadi hambatan kepada kita selepas pilihan raya. Kita sedar dan tahu lagu-lagu didendangkan dan isu yang dilontarkan oleh kebanyakan masyarakat tentang bagaimana minyak yang merupakan hasil Sabah tetapi perolehannya tidak sebanyak mana.

”Untuk itu, saya sudah maklumkan kepada Lim Guan Eng tentang perkara ini agar apa yang kita usahakan dapat dijayakan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie mahu kerjasama antara Kerajaan Sabah dan Shell Malaysia serta syarikat minyak yang berada di Sabah terus dipertingkatkan.

”Hubungan rapat ini memberi kebaikan kepada Sabah kerana bukan hanya mereka melabur dari segi kewangan malah, mereka memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Malaysia dan orang Sabah.

”Untuk itu, kita perlu memberi sokongan bagi merealisasikan apa sebenarnya yang penting supaya sektor minyak dan gas dapat meningkatkan keupayaan mereka.

”Kita sedar sebahagian besar hasil di Malaysia dan Sabah ini diperolehi menerusi minyak dan gas maka, sektor ini perlu diurus dengan baik agar sebarang masalah dan kekangan yang mereka hadapi dapat ditangani secara bersama,” jelasnya.

Beliau berkata, sektor minyak an gas ini melibatkan pelaburan yang berisiko tinggi dalam melakukan eksplorasi.

”Mereka melakukan pelaburan yang besar namun, dalam masa sama kita sedar keperluan mewujudkan situasi menang-menang agar mereka perolehi keuntungan dan kerajaan turut mendapat manfaat,” ujarnya.