Polis Penampang Gempur ‘Port’ Lumba Haram, 17 Kenderaan Disita

Mohd. Haris melihat Proton Satria yang telah diubah suai enjin dan digunakan untuk lumba haram di Jalan Lintas Penampang.

KOTA KINABALU: Sebanyak 17 kenderaan pelbagai jenis termasuk berjenama mewah seperti BMW dan Subaru disita Bahagian Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam operasi membanteras lumba haram di daerah itu semalam.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haris Ibrahim berkata, dalam operasi bermula pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi itu, pihak polis turut menahan dua lelaki yang sedang berlumba di sepanjang Jalan Pintas, Penampang.

Mohd. Haris dalam sidang media di IPD Penampang.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 30-an itu yang berlumba menggunakan kereta Proton Wira dan Proton Satria disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

“Pihak polis terlebih dahulu melakukan intipan dan mendapati kedua-dua suspek sedang berlumba dan selepas mereka berhenti di sebuah pusat beli-belah di situ anggota kami bertindak menahan mereka.

Subaru antara kereta mewah yang ditahan.

“Kenderaan-kenderaan lain yang berada di situ turut diperiksa dan hasilnya pihak kami menahan 17 daripadanya kerana pelbagai jenis kesalahan membabitkan pengubahsuaian,” kata dalam sidang akhbar di IPD Penampang petang ini.

Mohd. Haris berkata, operasi berkenaan membabitkan kerjasama IPD Penampang dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kekuatan lima pegawqi serta 27 anggota.

Mohd. Haris melihat Proton Satria yang telah diubah suai enjin dan digunakan untuk lumba haram di Jalan Lintas Penampang.

Menurut beliau, pihak polis mengeluarkan 19 saman manakala JPJ sebanyak 30 saman melibatkan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, operasi membanteras pelumba haram atau samseng jalanan akan diteruskan dari masa ke semasa kerana pihaknya selalu mendapat aduan masyarakat mengenai aktiviti tersebut yang selalu berlaku pada hujung minggu di Jalan Pintas berikutan keadaan jalan yang luas dan lurus.

“Kami akan sentiasa pantau aktiviti itu untuk mencegah kelakukan golongan belia ini kerana mengundang bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

Mohd Haris (kanan) menunjukkan kereta yang ditahan kerana dikesan terbabit lumba haram dalam Op Samseng Jalanan di Penampang. Gambar Ihsan Polis Penampang

“Saya nasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau anak masing-masing daripada terlibat dengan aktiviti tidak sihat ini, berhati-hatilah selalu, saman boleh dibayar tetapi nyawa tidak boleh diganti begitu juga kalau terlibat kecederaan parah akibat kemalangan hanya merugikan keluarga,” katanya.

Sebahagian kenderaan yang ditahan dalam operasi membanteras lumba haram di Jalan Pintas oleh IPD Penampang.

Sementara itu, Mohd. Haris turut mengingatkan pengguna jalan raya bahawa undang-undang bukan hanya boleh menahan pemandu yang berlumba mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan, malah Seksyen 81 akta yang sama turut membolehkan pihak berkuasa menahan mana-mana pemandu yang memandu laju bersendirian.

Jelas beliau, Seksyen 42 akta berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.

BorneoToday