Nelayan Tuaran Mengeluh Hilang Pendapatan Akibat Jerebu

TUARAN, 23 Sept: Pendapatan lebih 50 nelayan laut dalam dari Kampung Lontuong, Mengkabong dan Gayang, di sini, terjejas selepas tidak dapat turun laut menangkap ikan, berikutan fenomena jerebu melanda perairan daerah ini sejak dua minggu lalu.

Fenomena itu memaksa nelayan terbabit mengambil pendekatan menangkap ikan berhampiran pesisiran pantai dan sungai untuk menggantikan pendapatan yang hilang sementara menunggu jerebu hilang.

Bagaimanapun, nelayan mengakui hasil tangkapan diperoleh dari pesisiran pantai dan sungai tidak banyak, berbanding jika mereka melakukan kegiatan itu di laut dalam.

Nelayan Kampung Lontuong, Mohd Darasat Wahid, 54, berkata keadaan itu disebabkan pesisiran pantai atau sungai bukan lubuk ikan yang boleh memberi pulang lumayan kepada nelayan.

“Lazimnya, nelayan laut dalam dari tiga perkampungan berkenaan turun laut hampir setiap hari bermula jam 3 pagi dan kembali ke jeti pendaratan ikan Mengkabong dan Gayang jam 8 pagi, dengan membawa hasil tangkapan yang banyak jika tiada gangguan cuaca buruk dan jerebu.

“Bagaimanapun, nelayan tidak berani turun laut sejak fenomena jerebu melanda perairan daerah ini dua minggu lalu, bimbang hilang di laut apabila panduan laluan sukar dilihat kerana jarak pandangan terhad,” katanya kepada Bernama, di sini.

Mohd Darasat berkata sebahagian besar nelayan dari tiga perkampungan itu akan menuju Pulau Mengalum, kira-kira 40 batu nautika atau tiga jam perjalanan menggunakan bot dari pesisiran pantai Tuaran untuk menangkap ikan.

“Memandangkan bot kami guna tidak dilengkapi alat Global Positioning System (GPS), maka kami tidak berani mengambil risiko meredah lautan dalam keadaan berjerebu atau ribut, kerana tidak mahu sesat atau hilang,” katanya.

Beliau berkata sebagai ganti GPS, nelayan menjadikan bayangan bukit tertinggi sebagai panduan untuk mereka kembali ke daratan selepas selesai menangkap ikan di laut dalam.

“Jika bayangan bukit tidak kelihatan kerana diselubungi jerebu atau cuaca gelap, nelayan terbabit kemungkinan besar boleh sesat atau hilang di laut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masalah jerebu akan berakhir dalam tempoh terdekat, membolehkan nelayan dapat kembali turun laut menangkap ikan bagi meneruskan kehidupan.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *