Ribut, Banjir ‘Ganti’ Jerebu Hujung Bulan Ini -MetMalaysia

KUALA LUMPUR: Selepas kira-kira dua minggu diselubungi jerebu, rakyat negara ini dijangka berdepan dengan fenomena ribut dan banjir kilat sebaik sahaja keadaan udara mula pulih ekoran pertukaran monsun.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya menjangkakan jerebu akan bertambah baik pada minggu depan hingga awal November namun memberi amaran kejadian ribut dan banjir sepanjang tempoh berkenaan.

Ketua Pengarah (MetMalaysia) Jailan Simon berkata dalam tempoh itu, kawasan serantau negara akan menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah dan berpotensi untuk pembentukan awan ribut petir.

“Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca yang lazim berlaku adalah ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa yang singkat terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat dan tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh. Sehubungan itu, cuaca berjerebu yang melanda negara dijangka bertambah baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula pada 6 Mei lepas.

Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca dan media sosial.- BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *