Bayi Kaki Empat & Tiga Tangan

Bayi perempuan yang baru dilahirkan mempunyai empat kaki dan tiga tangan tambahan. Agensi

NEW DELHI: Satu daripada bayi kembar dilahirkan seorang wanita di Rajasthan, India, mempunyai empat kaki dan tiga tangan iaitu milik kembar ketiga yang tidak terbentuk dengan baik sebaliknya melekat pada bayi perempuan itu.

Satu lagi anak dilahirkan wanita itu, kembar lelaki mereka berada dalam keadaan sempurna.

Menurut Daily Mail, ibu bayi berkenaan dikenali sebagai Raju, 24, dan suaminya, Badhulal Gurjar yang bekerja sebagai buruh. Kembar terbabit yang dilahirkan di sebuah hospital di Tonk, Rajasthan, Jumaat lalu, adalah anak pertama mereka.

Bayi perempuan mereka mempunyai sepasang kaki tambahan dan tangan ketiga yang menutup seluruh dada dan perutnya.

Doktor percaya ibu muda itu mengandungkan kembar tiga tetapi salah seorang bayi bergabung dengan bayi perempuan berkenaan.

Dr Rohitesh Meena, pakar bedah yang menyambut bayi berkenaan berkata: “Raju melahirkan anak kembar sepasang secara normal sekitar jam 2.46 pagi (waktu tempatan).

“Bayi lelaki normal tetapi bayi perempuan mempunyai masalah pernafasan, masalah biasa membabitkan kes kembar siam.

“Sistem sokongan oksigen terpaksa digunakan dan keadaanya sudah stabil sekarang.

“Kami akan merujuk kes bayi perempuan itu ke hospital yang lebih maju di Jaipur untuk rawatan lanjut dan pembedahan pediatrik,” katanya.

Menurutnya, pasangan itu tidak melakukan pemeriksaan berkala ketika hamil, termasuk ujian ultra bunyi menyebabkan tidak tahu keadaan bayi dalam kandungan.

Dr Meena yakin anggota tambahan itu boleh dibuang melalui pembedahan.-Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *