Seramai 52 Pengedar, Penagih Dadah Ditahan

Sebahagian penagih dadah yang ditahan menerusi Op Sarang di Kota Kinabalu. Foto Ihsan Polis

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu menahan seramai 52 individu membabitkan pengedar dan penagih dadah di beberapa lokasi di daerah ini bermula 14 September dan berakhir kelmarin.

Semua suspek berusia 16 hingga 57 tahun ditahan hasil 20 serbuan yang dijalankan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Geogre Abd Rakman berkata, serbuan dijalankan menerusi Op Sarang yang bertujuan mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap bukan sahaja ahli sindiket pengedaran dadah tetapi juga untuk membanteras masalah penagih yang semakin berleluasa.

“Keseluruhan tangkapan dalam tempoh seminggu menerusi 20 serbuan iaitu seramai 52 individu ditahan termasuk serbuan pada 18 September hingga kelmarin di pekan Inanam, Kampung Sembulan dan Kampung Labou.

“Daripada jumlah yang ditahan itu, tiga individu adalah pengedar manakala 21 individu bagi kesalahan memiliki dadah dan diikuti 28 individu membabitkan kesalahan urin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Geogre berkata, seramai 31 ditahan adalah warga tempatan manakala 21 lagi adalah warga asing.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah bagi tempoh itu adalah sebanyak 14.87 gram dadah jenis syabu dan 9.7 gram dadah ketamin yang dianggarkan bernilai RM2,198 mengikut harga dadah semasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(A) akta sama,” katanya.

Sementara itu, Geogre berkata usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini sentiasa diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam dalam daerah Kota Kinabalu.

“Oleh itu, bagi mempertingkatkan lagi pembanterasan jenayah dadah, usaha orang awam juga diperlukan dengan menyalurkan maklumat ke hotline IPD Kota Kinabalu ditalian 088529220,” ujarnya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *