Maritim Tawau Tahan Juragan Indonesia

TAWAU: Seorang juragan Indonesia dan seorang pembantu juragan penduduk tempatan disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002 telah ditangkap oleh Maritim Malaysia (Zon Maritim Tawau) berhampiran perairan pelabuhan Tawau, pagi hari ini.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi), Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri bin Hussin berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan dan pemeriksaan rutin di sekitar kawasan tanggungjawab telah menahan bot penumpang terbabit sekitar jam 8.30 pagi.

Didapati bot kargo terbabit mempunyai nombor pendaftaran berkenaan dipercayai bergerak menuju masuk ke Tawau.

Pemeriksaan awal mendapati juragan bot (lelaki dewasa) dan pembantunya (wanita dewasa) masing-masing berumur 55 dan 56 tahun itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati juragan disyaki telah menyalahgunakan lesen bot kargo dengan membawa penumpang.

Kesemua yang ditahan termasuk bot diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Tawau dan kemudian menyerahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) Cawangan Tawau bagi siasatan lanjut dibawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Menurut beliau lagi, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan malahan akan terus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat, aman dan terkawal.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.