
KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu menggempur tujuh lokasi dipercayai ‘sarang’ pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mengundang kepada jenayah di daerah ini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, Op PATI Bersepadu yang bermula kira-kira 2 petang dan berakhir enam jam kemudian dijalankan di tujuh lokasi dalam daerah ini.

“Seramai 80 individu diperiksa dan hasil pemeriksaan lanjut menahan 10 individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki.
“Manakala 70 individu dibebaskan selepas keluarga dan majikan mereka memberi kerjasama dengan menghantar MyKad dan pasport asal,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

George berkata, semua yang ditahan adalah warga Filipina berusia 16 hingga 55 tahun.
“Tumpuan lokasi operasi yang dijalankan adalah kawasan bandar raya ini kerana kadar pertumbuhan PATI boleh mengundang kepada kegiatan jenayah.
“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata operasi ini akan berterusan dan orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada balai polis berhampiran atau melalui medium media sosial seperti Facebook Polis Kota Kinabalu dan juga menerusi WhatsApp IPD Kota Kinabalu 0192182729.
Terdahulu, Op PATI Bersepadu turut dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
SabahNewsToday