Chika, Sumandak Kota Marudu Ini Makin Menyinar

Cita-Cita menjadi pegawai polis tidak dilupakan.

LEPAS RINDU BILA MALAM

“Setiap malam saya menangis kerana rindu keluarga dan untuk menghilangkan rasa itu, saya akan menghubungi mereka. Amat sukar bagi saya pada peringkat awalnya untuk berpisah dengan keluarga apatah lagi saya terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan di Kuala Lumpur.”

Itu antara cabaran yang terpaksa dilalui Chika Cherryca Chia, gadis berusia 18 tahun dari Kota Marudu, Sabah yang kini semakin menempa nama dalam sukan trek berbasikal.

Cita-Cita menjadi pegawai polis tidak dilupakan.

Gadis kacukan Dusun dan Cina itu yang mewakili Cycology Sabah Racing, berjaya melakar kejutan apabila meraih dua perak menerusi acara pecut individu dan keirin di Kejohanan Trek Kebangsaan 2019 di Velodrom Nasional di Nilai yang berakhir, baru-baru ini.

Walaupun hanya empat bulan bergelar pelumba trek, potensi yang dimiliki pelumba remaja berkenaan terserlah apabila meraih gangsa dalam acara keirin di Kejohanan Grand Prix Asia Tenggara 2019 yang turut dilangsungkan di Velodrom Nasional.

Chika raih dua perak menerusi acara pecut individu dan keirin di Kejohanan Trek Kebangsaan 2019

Bagaimanapun, di sebalik pencapaian cemerlangnya setakat ini, dia turut mengintai peluang untuk menjadi pegawai polis dan berkhidmat untuk negara.

“Jika ada rezeki dalam acara trek, saya akan teruskan, namun secara jujur tidak pernah terfikir menjadi atlet sepenuh masa kerana melihatnya sebagai aktiviti sampingan.

“Saya mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan bercita-cita untuk menjadi pegawai polis,” katanya.

Chika bersama rakan sepasukan.

Menceritakan lebih lanjut pembabitannya dalam trek, Chika menjelaskan, ia bermula apabila mengambil bahagian dalam sesi pemilihan yang dijalankan jurulatih Cycology Sabah Racing, Louis Pang yang diadakan di Papar, awal tahun ini.

“Ia disusuli dengan panggilan telefon daripada jurulatih selepas beberapa minggu untuk bersama-sama pasukan menyertai Junior Cycling Malaysia siri pertama di Nilai. Selepas itu, apabila meraih pingat dalam ujian masa 500 meter dan pecut berpasukan, saya kekal bersama mereka,” katanya.

Chika raih dua perak menerusi acara pecut individu dan keirin di Kejohanan Trek Kebangsaan 2019

Sikap dan karakter anak sulung daripada tiga beradik itu yang aktif dalam berbasikal bukit (mountain bike) dan olahraga selain ingin belajar lebih banyak dalam bidang sukan menarik minatnya untuk berjinak-jinak dalam acara trek.

“Keluarga saya aktif dalam sukan olahraga. Saya juga adalah atlet pecut dan lompat jauh sejak sekolah rendah sehingga menengah. Saya pernah meraih keputusan yang baik sehingga ke peringkat negeri. Selain itu, saya mewakili Sabah di SUKMA 2018 di Perak dalam acara berbasikal bukit.

“Saya bersama pasukan menjalani latihan di Kuala Lumpur dengan penyertaan Piala Trek Asia di Taiwan (Mei) adalah penampilan pertama di pentas antarabangsa dan mendapat tempat keempat dalam acara pecut.

WALAUPUN aktif dalam sukan Chika tetap intai peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Ia disusuli dua kejohanan di Nilai. Tempoh empat bulan sebagai persiapan adalah singkat dari segi mental dan fizikal, namun saya melihatnya sebagai kejayaan kerana pulang sebagai pemenang tempat kedua,” katanya.

Harian Metro