Cukuplah Di Semenanjung, Shafie Arah SDB Kembali Melabur Di Negeri Ini

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah mengarahkan Bank Pembangunan Sabah (SDB) supaya berhenti membiayai projek pembinaan hartanah di Semenanjung, sebaliknya perlu menggunakan dana yang dimiliki untuk pembangunan negeri ini.

Ketua Menteri berkata, arahan berkenaan dikeluarkan selepas mendapati sebanyak RM2 bilion dana SDB digunakan membiayai pembangunan di Johor dan Pulau Pinang tetapi tiada di Sabah.

“Apabila saya melihat penyata milik SDB, malang sekali apabila pada waktu tertentu hampir RM2 bilion duit SDB digunakan untuk membiayai kewangan pembangunan di Pulau Pinang dan Johor.

“Oleh sebab itu saya melantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu, saya beritahu dia tiada lagi pembiayaan kewangan apa-apa projek di Semenanjung Malaysia, pembiayaan mesti di negeri ini untuk apa sahaja projek yang ada,” katanya ketika berucap dalam sambutan Malam Gala Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda).

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Jaujan Sambakong dan Presiden Shareda, Chew Sang Hai.

Ketua Menteri berkata, beliau telah berjumpa dengan Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus baru-baru ini memaklumkan tentang hasrat untuk merombak sistem pembiayaan kewangan membabitkan institusi milik kerajaan negeri.

Ini kerana katanya, institusi kewangan milik Sabah sepatutnya membantu pembangunan hartanah di Sabah termasuk pembiayaan kewangan kepada rakyat Sabah untuk membeli hartanah bukannya hanya memfokuskan kepada Semenanjung sahaja.

Tegas beliau, sistem kewangan sepatutnya memudahkan rakyat serta pelabur seperti pemberian kelulusan yang lebih cepat dan mudah bukannya menjadi penghalang sehingga pembangunan yang dirancang terbantut.

“Dalam soal pembiayaan kewangan, saya melihat begitu sukar untuk pembeli rumah dan juga pelabur apabila mereka diberikan projek untuk mendapatkan kewangan sangat susah walaupun dalam jumlah yang sedikit.

“Sesetengah bank yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, untuk mendapatkan kelulusan terlalu lama, sebulan atau lebih enam bulan, apabila saya berjumpa dengan Gabenior Bank Negara dua bulan lalu saya sudah nyatakan betapa penting melihat kembali institusi yang dimiliki kerajaan negeri.

“Saya akan melihat bagaimana kita boleh mengkaji balik untuk memastikan mereka boleh membantu keperluan kewangan di Sabah, tidak perlu lagi bergantung kepada bank di Kuala Lumpur,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *