SANDAKAN: Pengalaman cukup menginsafkan bagi Yunizam Yusop, 31, apabila setiap hari melihat kesedihan ditanggung penduduk daif meratapi kehilangan orang tersayang.
Pemuda yang menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma sejak tahun lalu itu sudah membantu menghantar sekurang-kurangnya 1,500 jenazah dengan tempat paling jauh dari Sandakan ke Tenom dengan jarak kira-kira 500 kilometer (km).
Terbaru, kisah Yunizam yang turut dikenali sebagai Abam Botak itu tular di laman sosial Facebook selepas membantu menghantar mayat individu beragama Kristian ke Kampung Karamuak, Tongod, kira-kira 150 km dari sini.
Kisah itu mendapat lebih 4,100 komen dan 4,900 perkongsian di Facebook.
Menceritakan kisah itu, Yunizam berkata, dia terserempak dengan seorang wanita ketika mengangkat jenazah di Hospital Duchess of Kent, di sini, baru-baru ini, sebelum diberitahu wanita berkenaan daripada keluarga susah dan tiada wang membiayai kos membawa pulang mayat anaknya.
Beliau berkata, wanita itu memaklumkan tidak mempunyai wang untuk menyewa van bagi membawa pulang mayat dan tiada sesiapa mahu bantu, justeru lega apabila dirinya sedia membantu.
“Paling meruntun hati saya apabila mak cik itu cuma mampu menangis apabila saya kata van ini percuma, tiada bayaran.
“Bagi saya, tiada masalah untuk bantu mereka yang berlainan agama, asalkan mereka (yang perlukan khidmat van jenazah) tidak kisah (dibantu orang beragama Islam),” katanya sambil memberitahu dia membantu penduduk daif yang memerlukan perkhidmatan tanpa mengira agama kerana berasa kasihan dan bertanggungjawab.
Yunizam berkata, ketika ini, mereka menyediakan dua van jenazah dengan van kedua mula beroperasi Ogos tahun ini dengan setiap hari menghantar antara dua hingga lima jenazah.
Katanya, khidmat itu bukan saja membabitkan masyarakat di daerah ini, malah daerah lain meliputi Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu dan beberapa kawasan lain.
“Paling mencabar apabila menghantar jenazah ke Kampung Karamuak. Bukan saja kerana mengambil masa enam jam dari Sandakan, malah keadaan jalan yang berbatu, licin dan tiada liputan telefon.
“Namun, itu bukan penghalang untuk membantu penduduk daif. Apa yang penting, mereka yang susah dapat dibantu kerana tanggungjawab kita sebagai orang Muslim untuk membantu sesama insan,” katanya.
Selain berkongsi dengan rakan-rakan, Yunizam juga menerima sumbangan orang ramai bagi membantu kos penyelenggaraan van terbabit.
Pemuda itu sebelum ini turut menyediakan perkhidmatan kereta percuma ke hospital, memberi makan gelandangan, selain mengusahakan kelas mengaji di Pusat Bimbingan Siti Khadijah, di sini.
Berita Harian