Tikam Rakan Guna Pisau Pemotong Sayur Hingga Mati

BELURAN: Seorang buruh ladang warga Indonesia maut ditikam oleh rakan senegaranya hingga mati selepas kedua-duanya bergaduh di kawasan ladang Tulid Mas Telupid, dekat sini semalam.

Mangsa lelaki berusia 37 tahun warga Indonesia disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, kejadian berlaku jam 5.30 pagi, apabila mangsa dikatakan menyerang suspek yang ketika itu berada di hadapan pejabat ladang berkenaan bersama beberapa pekerja lain.

“Mangsa sambil membawa besi ‘loading’ buah kelapa sawit mendekati lalu memukul suspek beberapa kali.

“Suspek yang kudung sebelah tangan kanan cuba mengelak namun mengenai badannya sebelum dileraikan oleh pekerja di ladang berkenaan.

“Mangsa yang ditenangkan oleh rakan sekerjanya tiba-tiba rebah akibat kesan luka diperut dipercayai ditikam,” katanya di sini, hari ini.

Berikutan itu, Kasim berkata pekerja di ladang terbabit bertindak menahan suspek berusia 30 tahun manakala mangsa yang parah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telupid untuk rawatan.

“Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Duchess Of Kent, Sandakan untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.

“Pasukan polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian bertindak ke lokasi dan menahan suspek terbabit.

“Pergaduhan itu dipercayai akibat masalah hutang namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Kasim berkata polis merampas sebilah pisau pemotong sayur berukuran 28 sentimeter dan besi loading buah kelapa sawit di lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *