Maritim Malaysia Tahan Dua Suspek Bom Ikan Di Semporna

Maritim Malaysia menahan dua lelaki yang disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan Perairan Pulai Maiga, Semporna. – Ihsan Maritim Malaysia

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua lelaki kerana disyaki terbabit dengan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Pulau Maiga, di sini, pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan, berkata bot pam dikendalikan dua suspek suku Pala’uh itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit kira-kira jam 7 pagi.

Katanya, ketika cuba dihampiri, kedua-dua suspek bertindak cuba melarikan diri namun berjaya dipintas tidak lama selepas itu.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot mereka mendapati dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Turut ditemui hasil tangkapan ikan dipercayai diperoleh menggunakan kaedah bom ikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Norrimi berkata, kedua-kedua suspek ditahan bersama barang rampasan termasuk bot pam dan enjin sangkut dibawa ke Jeti Kem Azumi, di sini, untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, tangkapan terbaru itu adalah kes ketiga dilakukan Maritim Malaysia Semporna membabitkan individu yang melakukan kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah itu di kawasan perairan daerah ini sejak Januari lalu.

Berita Harian