LONDON: Sebuah mangkuk tandas dari emas tulen 18 karat yang bernilai 1 juta pound (RM5.21 juta) dilarikan dari Istana Blenheim semalam.
Mangkuk tandas itu yang masih belum ditemui dan direka oleh artis kontroversi Itali, Maurizio Cattelan, adalah sebahagian daripada pameran terbaharu di Oxfordshire, iaitu tempat kelahiran mantan Perdana Menteri, Winston Churchill.
Apa yang menarik, pelawat yang mengunjungi Istana Blenheim berpeluang menggunakan tandas terbabit dengan peruntukan masa selama tiga minit.
Polis Thames Valley mengesahkan khazanah berharga itu sudah dicuri dan kes berkenaan masih dalam siasatan.
Inspektor Jess Mine berkata, seorang lelaki berusia 66 tahun turut ditahan kerana memiliki kaitan dengan insiden terbabit dan kini berada dalam tahanan polis.
“Satu hasil seni sudah dicuri dan ia adalah sebuah mangkuk tandas bernilai tinggi yang diperbuat daripada emas serta dipamerkan di istana,” katanya.
Kecurian ‘luar biasa’ itu turut mendapat perhatian syarikat pereka istana, EventSiteDesign yang mengumumkan kejadian terbabit di Twitter.
“Kami berhadapan satu drama malam tadi yang tidak akan dijelaskan dengan lanjut namun ia bermakna kami perlu berurusan dengan kontraktor,” kata syarikat itu.
Istana Blenheim pula mengumumkan bahawa premis berkenaan terpaksa ditutup hari ini.
“Susulan kejadian tidak diduga di istana, kami akan menutup operasi sehingga waktu makan tengah hari. Ruangan taman bagaimanapun masih dibuka. Maaf untuk segala kesulitan,” katanya. – Agensi