Menang 2-0 Namun Kempen Piala Malaysia 2019 Sabah Berakhir

Maxsius Musa meraikan gol pertama Sabah menentang Pulau Pinang di Stadium Likas. Gambar Ihsan Safa

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah mencatat kemenangan pertamanya dalam Piala Malaysia tahun ini apabila menundukkan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Likas semalam.

Walaupun demikian, perjalanan juara Liga Premier itu turut berakhir apabila Perak mengejutkan Pahang 3-1 di Stadium Ipoh dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C semalam.

Penjaring gol kedua Sabah, Rodoljub Paunovic cuba di asak oleh pertahanan Pulau Pinang, Segar Arumugam. Gambar Ihsan Safa

Dengan hanya tinggal satu perlawanan lagi, Sabah sebenarnya masih mempunyai peluang untuk mara ke suku akhir sekiranya dapat mengalahkan Pulau Pinang sambil mengharapkan Pahang akan menewaskan Perak.

Namun, keputusan di Stadium Ipoh meranapkan harapan Tambadau.

Kemunculan penyerang import, Aguinaldo Mendes Vega (jersi putih) pada babak kedua menyemarakkan permainan Sabah. Gambar Ihsan Safa

Perlawanan terakhir Sabah ialah menentang juara bertahan, Perak di Stadium Likas pada 18 September.

Kedudukan kumpulan C selepas lima perlawanan ialah Pahang kekal di tangga teratas dengan 12 mata diikuti Perak dengan lapan mata, Pulau Pinang lima mata dan Sabah tiga mata.

Dalam perlawanan semalam, Ketua Jurulatih Jelius Ating menukar sedikit barisan pemain kesebelasan Tambadau antaranya memasukkan Maxsius Musa dan Alto Linus untuk mengalas tugas masing-masing sebagai sayap kiri dan kanan.

Sabah mencipta beberapa percubaan menarik untuk menjaringkan gol dalam babak pertama melalui Maxsius namun pemain itu tidak dapat menyudahkan dengan baik.

Pulau Pinang pula hampir menjaringkan gol pada minit ke-40 melalui sepakan Julian Bottaro dari luar kotak penalti namun penjaga gawang Sabah, Rozaimie Rohim berjaya menyelamatkan keadaan.

Pada babak kedua, Sabah mula mengatur gerakan dengan lebih agresif dan nyaris memecah kebuntuan menerusi percubaan jarak jauh Evan Wensley Wenceslaus tetapi berjaya ditepis penjaga gol Pulau Pinang, Muhammad Zamir Selamat pada minit ke-48.

Lima minit kemudian Tambadau akhirnya berjaya membolos gawang Pulau Pinang melalui gandingan Alto dan pemain licik Maxsius dari sebelah kanan. Maxsius tidak mensia-siakan peluang untuk menyumbat gol pertama Sabah itu.

Pada minit ke-61, Pulau Pinang memperolehi sepakan penalti setelah Rozaimie meluru keluar menjatuhkan penyerang Pulau Pinang Mohamad Al Hafiz Harun di dalam kotak penalti.

Namun demikian, penyerang import dari Brazil mereka, Anselmo Arruda Da Silva atau lebih dikenali sebagai Casagrande menyepak bola tinggi melepasi palang gol.

Tempo permainan Tambadau semakin laju dengan kemasukan penyerang dari Angola, Aguinaldo Mendes Vega dalam babak kedua.

Pada minit ke-82, Aguinaldo membuat satu gerakan menarik di sebelah kiri dan berjaya melepasi tiga pemain pertahanan Pulau Pinang sebelum membuat hantaran silang kepada Rodoljub Paunovic yang kemudian membuat satu ‘turning kick’ untuk menewaskan Muhammad Zamir dan menjadikan kedudukan 2-0.

Kemenangan itu menebus kekecewaan Sabah tewas 2-1 dengan Pulau Pinang dalam perlawanan pusingan pertama di Stadium Batu Kawan bulan lalu.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *