Kolej Islam Pertama Di Sabah

Foto Bernama

KOTA KINABALU, 14 Sept: Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dengan kerjasama Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) akan menubuhkan sebuah Kolej Islam menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini.

Pengerusi masjid itu Datuk Abdul Jamal Tun Sakaran berkata ini sejajar dengan perancangan pengurusan masjid sejak ditubuhkan pada 19 tahun lalu dalam mengimarahkan masjid dengan pendidikan Islam.

Katanya ia merupakan kesinambungan pewujudan institusi pendidikan Islam oleh pihak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang sudah mempunyai lima institusi bermula dari tadika, sekolah rendah agama, madrasah tahfiz dan dua sekolah khas dengan jumlah 700 pelajar.

“Adanya kolej Islam ini dapat memperkasakan bidang pendidikan Islam dan memantapkan penuntutan ilmu di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu hingga peringkat diploma dan ijazah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoU itu di masjid itu, hari ini.

MoU ditandatangani oleh Jamal dan YDKMM diwakili Pengasas merangkap Penasihat yayasan itu Fakhrullah Mawardi yang disaksikan oleh penceramah terkenal dari Indonesia Ustad Abdul Somad.

Dalam pada iu, Fakhrullah berkata MoU itu merupakan antara tiga perkara diberikan tumpuan oleh yayasan itu dalam menjalin kerjasama dengan pihak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya perancangan pembinaan kolej Islam itu sejajar dengan  pembangunan pendidikan yang diperjuangkan oleh YDKMM sejak ditubuhkan pada 2014.

“Pembinaan Kolej Islam di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu bakal menjadi kolej wakaf pertama diwujudkan di negara ini,” katanya.

Menurutnya dua lagi tumpuan adalah membabitkan pembangunan sosial membabitkan pembinan rumah golongan asnaf dan pembangunan ekonomi membabitkan belia.

“Menerusi pengalaman dalam melaksanakan aktiviti kebajikan di luar negara, kami merasakan sudah sampai masanya memberi sumbangan di negara ini dengan fokus di Sabah,” kata Fakhrullah.

BERNAMA