TALLAHASSEE (Amerika Syarikat): Seorang remaja di sini, mencuri wang milik ibu bapanya yang kemudian digunakan untuk membayar beberapa individu bagi membunuh ahli keluarganya itu.
Alyssa Michelle Hatcher, 17, berasal dari Florida ditahan baru-baru ini, selepas polis mengesan plot untuk membunuh ibu dan bapa tirinya.
WFTV melaporkan, Alyssa mencuri kad ATM ibu bapanya sebelum membuat beberapa pengeluaran berjumlah AS$21,000 (RM87,614).
Penyiasat, detektif David Causey berkata, Alyssa kemudian menggunakan wang itu bagi membeli kokain dan mengupah dua individu untuk membunuh ibu bapanya.
“Alyssa membayar AS$580 (RM2,419) kepada seorang individu untuk membunuh ibu bapanya tetapi dia gagal melakukan tugasan itu.
“Gadis itu kemudian mengupah seorang lagi dengan bayaran AS$1,300 (RM5,423) tetapi individu itu juga gagal melaksanakan pembunuhan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, remaja itu ditangkap apabila seorang petugas di sekolahnya membuat laporan polis selepas mendengar khabar angin gadis berkenaan mengupah seseorang untuk membunuh ibu bapanya.
Seorang rakan sekolah Alyssa memberitahu WFTV, gadis itu seorang yang baik dan tidak sangka dia sanggup berbuat demikian.
Bagaimanapun, polis tidak mendedahkan motif atau mengapa gadis itu mahu membunuh ibu bapanya. – Agesi