Wanita Bisu Ditumbuk & Ditendang Oleh Suami Kerana Minta Beli Susu Anak

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang wanita bisu ditumbuk dan ditendang oleh suaminya hanya kerana meminta wang untuk membeli susu anak mereka yang berusia setahun di Kampung Kalansanan, Inanam di sini Selasa lalu.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 26 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) bisu dan suaminya berada di rumah mereka kira-kira pukul 7 pagi.

Difahamkan berlaku perselisihan antara pasangan tersebut disebabkan suspek tidak mempunyai wang kerana tidak bekerja.

Berang dengan permintaan mangsa suspek terus menumbuk dan menendang isterinya dan kejadian itu disedari oleh adik mangsa lalu menceritakan kepada ibu mereka.

Bagi mengesahkan perkara itu berlaku, ibu mangsa kemudian memeriksa tubuh anaknya dan didapati ada kesan lebam dibahagian belakang lalu mangsa menceritakan kepada ibunya melalui isyarat badan dan tangan.

Berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan polis pada keesokkanya di Balai Polis Inanam.

Difahamkan, rumah mangsa dan suspek hanya terletak bersebelahan dengan rumah ibunya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Geogre Abd Rakman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah tangga 1994,” katanya.

SabahNewsToday