KOTA KINABALU: Kunci dan bersembunyi dibelakang pintu rumah. Itu tindakan seorang penagih bagi mengelak ditahan ketika Op Cegah yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Putatan, awal pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun yang tinggal bersendiri di rumahnya mengunci pintu selepas menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa AADK Kota Kinabalu.
Anggota penguat kuasa kemudian mengetuk sambil meminta suspek untuk membuka pintu bagi pemeriksaan namun dia enggan menyebabkan penguat kuasa merempuh masuk.
Dia yang bersembunyi dibelakang pintu kemudian cuba melarikan diri namun gagal selepas dicekup anggota penguat kuasa AADK.
Pemeriksaan di dalam rumah suspek menemui beberapa peralatan menagih dadah dan hasil soal siasat dia mengaku baru menghisap syabu.
Dia kemudian dibawa ke pejabat AADK Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
“Lelaki itu antara tujuh individu yang ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah di beberapa lokasi di daerah ini.
“Antaranya di kawasan Sembulan, Tanjung Aru, Sepanggar, Manggatal dan Putatan,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, ujian saringan air kencing ke atas enam individu yang ditahan turut positif dadah jenis syabu.
“Semua tangkapan berusia 19 hingga 50 tahun disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.
Operasi bermula jam 9 malam hingga 4 pagi itu disertai tujuh anggota penguat kuasa AADK Kota Kinabalu. -SabahNewsToday