APMM Tahan Remaja Cuba Seludup Keluar 5,729 Paket Minyak Masak

Mohd Yusri (empat dari kanan), Yapp Kon Fatt (lima dari kanan) dan pegawai penguatkuasa lain menunjukkan bungkusan minyak masak yang cuba duseludup. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Cubaan seorang juragan menyeludup keluar 5,729 paket minyak masak bernilai RM14,000 gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan 1.7 batu nautika tenggara Sungai Melayu, di sini semalam.

Timbalan Pengarah Zon Operasi Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, suspek berusia 19 tahun menaiki bot kargo dipenuhi muatan minyak masak dipercayai cuba dibawa ke negara Indonesia bagi tujuan pasaran.

Mohd Yusri (dua dari kanan). – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Bot peronda APMM kemudian memintas dan hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit dipenuhi muatan 337 kotak berisi 5,729 paket minyak masak dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Siasatan turut mendapati suspek warga tempatan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membawa barangan terbabit,” katanya di sini hari ini.

Mohd Yusri (lima dari kanan) menyerahkan kertas siasatan kepada Yapp Kon Fatt. – Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) mengenai tangkapan tersebut.

Mohd Yusri menambah pihaknya turut merampas sebanyak empat tong gas petroleum cecair (LPG) dipercayai cuba diseludup.

Terdahulu beliau berkata rampasan minyak masak berkenaan adalah yang kedua terbesar pada tahun ini yang dijalankan pihak APMM Tawau.

“Kita juga masih menjalankan siasatan berhubung kekerapan suspek berulang-alik ke daerah ini bagi mendapatkan bekalan minyak masak dan di hantar ke Indonesia.

“Barangan ini adalah untuk rakyat tempatan jadi saya harap pemegang lesen perniagaan tidak menyalahgunakan lesen bagi tujuan mendapatkan keuntungan,” katanya.

Beliau berkata semua barangan terbabit termasuk bot dan enjin sangkut dianggarkan bernilai RM45,000 dirampas dan diserahkan kepada pihak KPDNHEP untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan KPDNHEP Tawau, Yapp Kon Fatt berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung perlesenan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti ini.

“Walaupun kes ini boleh dikompaun, tapi pihak kami tidak akan ambil tindakan sedemikian dan kita akan selesaikan di mahkamah sebagai pengajaran kepada mereka yang menyalahi undang-undang di Malaysia. 

“Jika pemilik jongkong tidak mempunyai lesen atau melanggar syarat lesen, kita akan teruskan siasatan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kita juga akan siasat pembekal minyak masak terbabit sama ada mereka membekalkan kepada pemegang lesen atau sebaliknya,”  ujarnya. – SabahNewsToday