BERSATU Usah Terburu-Buru Kemuka Calon Di Kimanis, Tumpukan Kerjasama Dengan Warisan

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob.

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Dr Yusof Yacob menganggap hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah untuk meletakkan calon sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) Kimanis adalah terlalu awal.

Menurut Dr Yusof kepimpinan Bersatu negeri yang diketuai oleh Datuk Hajiji Mohd Noor sebaliknya diminta menumpukan kepada usaha membantu kerajaan negeri pimpinan Warisan memenangi kerusi Kimanis bukannya mengemukakan senarai calon kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Terlalu awal untuk beliau mengemukakan calon Bersatu untuk menguji kekuatan di Kimanis jika berlaku pilihan raya kecil akan datang.

“Dalam keadaan sekarang kita berharap supaya Bersatu Sabah membantu menguatkan kerajaan negeri hari ini, lagipun Bersatu masih baharu,” katanya kepada SabahNewsToday di sini hari ini.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Hajiji bahawa Bersatu Sabah berhasrat mengemukakan calon kepada pimpinan PH jika berlaku PRK Kimanis.

Hajiji berkata pihaknya mempunyai beberapa calon yang layak untuk diletakkan bertanding dan memastikan kerusi Kimanis menjadi milik PH.

Dalam pada itu Dr Yusof berkata Bersatu juga adalah sebuah parti baharu dan kekuatan parti itu belum dapat dilihat sepenuhnya, tambahan pula ramai di antara ahli parti itu adalah bekas Umno yang telah berpecah.

“Kita sepatutnya menumpukan perpaduan dan kerjasama baik di antara Warisan dan Bersatu dahulu, itu yang penting,” katanya. – SabahNewsToday