APMM Tahan Empat Lelaki Terlibat Bom Ikan Di Perairan Pulau Gaya

Muhammad Suffian melihat proses membelah perut ikan yang telah dibom.

KOTA KINABALU, 11 Sept: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat lelaki dan merampas sebuah bot disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Tanjung Tavajun, Pulau Gaya, di sini semalam.

Timbalan Pengarah Maritim Sabah (Penguatkuasaan dan Eksesais), Komander Maritim Muhammad Suffian Eldine berkata turut dirampas dalam operasi khas kira-kira pukul 7.05 malam itu pelbagai jenis ikan seberat  kira-kira 100 kilogram.

Ikan yang dibom walaupun kelihatan masih segar secara luaran, namun organ dalamannya telah hancur.

“Hasil daripada maklumat dan risikan kita telah melakukan operasi dengan membuat tangkapan di laluan yang telah dikenal pasti untuk memastikan operasi berkenaan berjaya dijalankan.

Kita menunggu sehingga suspek melalui kawasan berkenaan sebelum membuat tangkapan kerana sekiranya kita membuat tangkapan semasa mereka melakukan aktiviti bom ikan, mereka sempat untuk melarikan diri melihat kehadiran kita daripada jauh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

PATI yang ditahan Maritim Malaysia.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap kesemua suspek juga mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan berasal dari Filipina.

Muhammad Suffian berkata kes itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan kesalahan menangkap dan memiliki ikan dengan menggunakan bahan letupan dan Akta Imigresen 1963.

Kira-kira 100 kilogram ikan hasil dibom ditemukan di dalam bot pam digunakan PATI yang ditahan.

Beliau berkata, pihaknya terus komited membuat pemantauan dan risikan di perairan Sabah untuk mengekang apa juga aktiviti jenayah yang berlaku di laut.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *