Kucing Batu Dipakaikan Kolar Satelit Untuk Kajian

`Foto BERNAMA

KINABATANGAN, 11 Sept: Seekor kucing batu betina  liar ditangkap dan dipasangkan dengan kolar yang boleh dikesan satelit dekat sini sebagai sebahagian daripada Program Karnivor Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC), satu kerjasama pusat itu dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS). 

Menurut satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini, kucing batu yang dinamakan DGFC sebagai “ratu” atau “queen” dalam Bahasa Inggeris ditangkap dan dipasangkan dengan kolar satelit semasa  satu tinjauan malam di Estet Pendirosa dekat sini baru-baru ini. 

Ketua Program Karnivor dan Pegawai Pemuliharaan Karnivor di DGFC  Dr Miriam Kunde berkata ratu adalah kucing batu pertama dipasangkan kolar itu sebagai sebahagian daripada projek itu.

“Diharap, kami akan dapat menangkap lebih banyak kucing batu dan memasang kolar di leher mereka untuk mengkaji pergerakan haiwan itu menerusi landskap  terserpih dan untuk memahami bagaimana mereka menggunakannya,” kata beliau.

Kunde berkata data pergerakan haiwan itu akan membantu untuk memahami bagaimana spesies  lasak ini menggunakan kedua-dua landskap — hutan dan ladang kelapa sawit.

Program Karnivor ini berjalan seiring dengan Projek DGFC “Health at the Edge” (H@EP) diketuai Penyelidik Bersekutu di DGFC Dr Sergio Guerrero-Sanchez dan Dr Liesbeth Frias.

Menurut Frias, projek itu menyasarkan untuk menangani masalah berkaitan kesihatan menerusi pendekatan ekologi bersepadu, veterinar dan kesihatan manusia. 

Guerrero-Sanchez menjelaskan projek itu menyasarkan kucing batu sebagai  sentinel untuk mengakses kesan potensi gangguan  antropogenik ke atas populasi kucing Borneo.

“Kucing batu boleh ditemui mendiami jenis habitat yang meluas, termasuk ladang kelapa sawit.

Dengan menggunakan mereka sebagai satu model spesies, kami menyasarkan untuk menilai  penghantaran silang spesies pada antara muka hidupan liar-manusia memandangkan jarak rumah mereka berpotensi untuk bertindan dengan karnivor domestik dalam ladang dengan kucing yang terancam di hutan berhampiran,” kata  Guerrero-Sanchez.

Kedua-dua projek diselia Pengarah DGFC Dr Benoit Goossens, yang berkata kefahaman yang lebih baik ke atas pergerakan kucing hutan liar akan membantu penilaian kesan pemecahan habitat dan kualiti beraneka corak spesies berkenaan dalam landskap Kinabatangan.  

“Kucing batu dan potensi pemindahan penyakit antara mereka dan haiwan domestik memberikan model relevan untuk menilai potensi risiko kesihatan yang mengancam spesies lain,  seperti kucing hutan kepala leper dan kucing marble,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *