SPRM Tawar Tempatkan Pegawai Kanan Di Pejabat Ketua Menteri Sabah

Latheefa (kanan) dan Mohd Shafie bersalaman semasa kunjungan hormat SPRM ke atas Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. – Foto Ihsan JKM

KOTA KINABALU, 11 Sept: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menempatkan seorang pegawai kanannya di pejabat Ketua Menteri Sabah sebagai satu usaha pencegahan, demi memastikan tidak berlaku sebarang rasuah dan salahguna kuasa.

Tawaran itu dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Beebi Koya yang berkata penempatan pegawai kanan SPRM di pejabat Ketua Menteri atau Menteri Besar adalah perkara biasa yang dilaksanakan SPRM bagi tujuan pencegahan agar tidak ada peluang berlaku salah  laku rasuah.

Beliau berkata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah memaklumkan kepadanya bahawa bahawa pejabat Ketua Menteri amat mengalu-alukan cadangan berkenaan, dan ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Mohd Shafie, di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini, dan turut serta dalam kunjungan hormat itu ialah Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi.

Menurutnya ia adalah perjumpaan rasmi pertama kepada Mohd Shafie bagi membincangkan beberapa perkara khususnya mengenai usaha meningkatkan pencegahan rasuah di peringkat Sabah.

Sementara itu, ditanya sama ada SPRM masih menjalankan siasatan rasuah terhadap pemimpin di Sabah yang pernah disiasat sebelum ini, beliau berkata siasatan terhadap mana-mana kes tidak akan ditutup hanya kerana seseorang itu telah berkuasa dalam kerajaan.

“Bagaimanapun SPRM turut melakukan penilaian terhadap setiap siasatan yang dibuat kerana semasa zaman kerajaan dahulu (Barisan Nasional), SPRM selalu dijadikan alat politik oleh pihak tertentu apabila banyak aduan dibuat hanya untuk mengenakan musuh politik.

“Tiada yang dihentikan hanya kerana seseorang telah berkuasa, kami tidak akan berhenti secara automatik, kami cuma berhenti jika kes itu tidak lebih daripada sekadar aduan, perlu difahami sebagai contoh ada laporan dibuat kerana bermotif politik.

“Sejak sekian lama SPRM telah digunakan sebagai alat politik, laporan dibuat untuk menyerang orang lain. Kami bekerja keras untuk menjadi profesional, kami tidak mahu digunakan sebagai medan untuk orang membuat laporan terhadap sesama sendiri,” tegasnya.

BERNAMA