Pengunjung Jambatan Tamparuli Disambut Dengan Muzik, Tarian Etnik Dusun

Foto BERNAMA

TAMPARULI, 7  Sept: Pengunjung jambatan gantung Tamparuli di sini akan menikmati kelainan apabila ketibaan mereka disambut dengan persembahan muzik dan tarian tradisional etnik Dusun di kaki jambatan itu bermula 1 Sept lepas.

Persembahan secara percuma setiap hari itu dikendalikan Persatuan Seni Budaya Tuaran (PESTA), bertujuan menceria dan menghiburkan pengunjung jambatan gantung Tamparuli.

Presiden PESTA Kuhim Ebin Ugat, 56, berkata pihaknya memperoleh idea mengendalikan persembahan muzik dan tarian tradisional di situ, selepas mendapati lokasi berkenaan kosong tanpa sebarang pengisian sejak sekian lama.

 “Sekurang-kurangnya kewujudan kami di tempat ini, sedikit sebanyak dapat membantu menjaga kebersihan serta memberi keceriaan jambatan gantung Tamparuli yang sering mendapat perhatian pelawat tempatan dan luar kerana panjang dan ketinggiannya.

“Idea mengadakan persembahan muzik dan tarian tradisional etnik Dusun di kaki jambatan gantung Tamparuli itu mendapat persetujuan Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Joseph Bangguan,” katanya kepada Bernama di sini.

Jambatan gantung Tamparuli dibina awal 1999 berukuran lebih 100 meter panjang, sekali gus direkodkan jambatan gantung terpanjang di Sabah.

Terletak bersebelahan kemudahan itu ialah jambatan lama Tamparuli untuk laluan kenderaan dari arah Kota Kinabalu-Tamparuli, yang dibina oleh tentera British sekitar 1960.

Kuhim, yang juga guru muzik berkata, pihaknya tidak mengenakan bayaran kepada pengunjung untuk menikmati muzik dan tarian tradisional yang dipersembahkan, sebaliknya hanya mengharapkan sumbangan ikhlas sebagai dana merangka ko-kurikulum muzik tradisional.

“Pendekatan PESTA itu turut mendapat perhatian Lembaga Pelancongan Sabah, yang bersetuju membiayai penyediaan kemudahan asas di situ seperti tandas, pejabat, bilik mesyuarat dan stor penyimpanan peralatan muzik,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan muzik PESTA itu terdiri daripada lima hingga 13 pemain, alat muzik seperti marimba, tagunggak, sompoton, suling, skopion dan sompoton kembar.

Kuhim berharap usaha mengadakan persembahan muzik dan tarian tradisional etnik Dusun di situ dapat menarik perhatian serta minat generasi muda untuk terbabit dalam bidang berkenaan. 

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *