
KENINGAU: Dua lelaki maut manakala seorang cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh pokok dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Keningau – Apin Apin, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, pemandu dan penumpang kereta jenis Proton Saga masing-masing berusia 31 dan 28 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penumpang hadapan berusia 26 tahun hanya cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dinaiki ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari Apin-Apin menuju ke pekan Keningau.

“Setiba di lokasi kejadian, Proton Saga dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri bahu jalan sebelum merempuh pokok.
“Impak kemalangan itu, pemandu dan penumpang belakang meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang hadapan hanya cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Shahrudin berkata semua mangsa dibawa ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan lanjut.
“Polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -SabahNewsToday