Penuntut Kolej Di Tawau Bersama Kakak Ipar Terlepas Tali Gantung

Nurminah memeluk ibunya selepas Mahkamah Tinggi Tawau hari ini membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah tiga tahun lalu. Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Penuntut sebuah kolej kerajaan negeri di Tawau tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata sebaik dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Tawau Dr Alwi Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah kes pendakwaan terhadap Nurminah Julhasin, 24, dan kakak iparnya, Faujia Julpae, 39.

Sebaik prosiding berakhir, kedua-dua tertuduh berkongsi kegembiraan dan saling berpelukan antara satu sama lain.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 738.8 gram di hadapan sebuah restoran di Lorong Pasaraya 1, Pasar Tanjung pada 11.30 pagi, 21 November 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Seramai 10 saksi dengan masing-masing tujuh saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan di mahkamah.

Kedua-dua tertuduh diwakili Abd Gani Zelika dan Dayang Aidaku Amira Aminuddin, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Don Stiwin Malanjum.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, Nurminah yang disambut ibunya, Nulsahabah Salman, 62, berkata, dia sangat bersyukur dengan keputusan mahkamah yang memihak kepadanya.

Katanya, dia bercadang menyambung semula pengajian dan memulakan kehidupan baru demi membela nasib keluarga selepas kematian bapanya ketika dia berada di dalam penjara.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *