20 Pendatang Tanpa Izin Ditahan Dalam Op Gasak Di Kunak

Antara pendatang tanpa izin yang ditahan. Foto Esscom

KUNAK: Sebanyak 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Op Gasak yang dijalankan Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Gasak yang dijalankan di sekitar Kampung Kunak 3 di sini, pada khamis.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner Datuk Hazani Ghazali berkata, daripada jumlah itu, 19 PATI merupakan rakyat Filipina dan selebihnya rakyat Indonesia.

“Kesemua 20 PATI yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan lima wanita yang berumur antara 18 hingga 48 tahun,” katanya.

Antara pendatang tanpa izin yang ditahan. Foto Esscom

Menurutnya, operasi yang dijalankan selama empat jam itu menyasarkan kawasan perkampungan atas air dan pinggiran pantai yang disyaki menjadi tempat persembunyian dan penempatan PATI.

“Operasi ini antara lain bertujuan untuk membenteras PATI serta mengekang jenayah rentas sempadan termasuk bagi mengesan dan menjejaki suspek yang terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan di kawasan perairan Kunak.

“Sejumlah 158 orang telah dibawa ke Pusat Dokumentasi untuk tapisan keselamatan sebelum 138 orang dibebaskan.

“Sejumlah 20 orang yang tidak memiliki dokumen pengenalan yang sah dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing,” katanya.

Dalam operasi berkenaan, pasukan keselamatan turut menahan dua lelaki bajau laut kerana memiliki peralatan disyaki bom ikan.

Pasukan keselamatan turut menahan dua lelaki bajau laut kerana memiliki peralatan disyaki bom ikan.

“Kita telah merampas dua unit detanator dan tiga botol berisi bahan disyaki baja daripada kedua-dua lelaki berkenaan”, katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1958.

Operasi berkenaan turut melibatkan polis, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Air Negeri Sabah, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Daerah dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *