Guna Dokumen Pengenalan Diri Palsu, Dua Nelayan Ditahan Di Sandakan

Kedua-dua suspek dipercayai pemegang dokumen IMM13 disyaki palsu. Foto Ihsan APMM Sandakan

SANDAKAN: Dua nelayan disyaki memiliki dokumen pengenalan diri palsu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan (ZM Sandakan) di atas sebuah bot nelayan tempatan lebih kurang pukul 7.45 pagi di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi ZM Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot nelayan itu bergerak dari laut menuju ke Jeti Pasar Besar Sandakan untuk menurunkan hasil tangkapan ikan campur dianggarkan seberat 400 kilogram sebelum di tahan.

“Seramai 19 awak-awak termasuk tekong berumur diantara 17 hingga 54 tahun diperiksa. Sebelas warga tempatan, lapan warga Filipina, enam daripadanya berdaftar manakala dua lagi pemegang kad IMM13 disyaki palsu.

Bot dinaiki 11 warga tempatan dan sembilan warga Filipina ditahan. Hasil pemeriksaan mendapati, dua daripada nelayan berkenaan memiliki dokumen pengenalan diri palsu. Foto Ihsan APMM Sandakan

“Bot dan anak kapal dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tambahnya lagi, orang ramai dinasihatkan agar segera menyalurkan sebarang aduan salah laku jenayah atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.

BorneoToday