Rakyat Sabah Tampil Semangat Patriotik Sambut Hari Kebangsaan

KOTA KINABALU: Upacara perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Peringat Negeri Sabah hari ini membuktikan semangat patriotik dan cintakan Malaysia oleh rakyat Sabah apabila lebih 10,000 hadir memeriahkan acara itu.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, kehadiran masyarakat berbilang kaum daripada pelbagai peringkat usia juga menunjukkan betapa tingginya semangat setiakawan dan perpaduan yang terjalin dalam kalangan rakyat Sabah.

“Terima kasih syukur kepada tuhan Hari Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Sabah telah berjalan dengan lancarnya, kehadiran begitu ramai pada hari ini, bagi pihak pengerusi penganjur saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat kepada semua agensi jabatan kerajaan dan juga swasta begitu juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang pada hari ini mengambil serta dalam perbarisan.

“Sudah tentu harapan kami di peringat negeri Sabah agar kemajuan, semangat setiakawan dan juga perpaduan yang erat dalam kalangan semua bangsa dan kaum akan terjalin dan mengambil pendekatan yang membolehkan agar kita dapat bekerjasama bukan sahaja daripada segi memajukan negeri Sabah tetapi juga memajukan negara Malaysia yang kita cintai ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Penganjur Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Peringat Negeri Sabah berkata demikian dalam sidang akhabr selepas upacara tersebut.

Sambutan Hari Kebangsaan 2019 itu disempurnakan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib serta kesemua pemimpin Kabinet negeri dan wakil rakyat kerajaan turut hadir menceriakan majlis.

Acara perbarisan itu bermula apabila Juhar memeriksa perbarisan kawalan kehormat oleh 103 anggota dan tiga pegawai daripada Batalion 7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Kabota Tawau sambil diiringi paluan pencaragam gabungan Batalion 3, Batalion 7 dan Batalion 22 RAMD.

Sebanyak 172 kontinjen menyertai perbarisan kali ini dalam beberapa kategori yang dipertandingkan iaitu kategori komersial swasta, sekolah menengah, IPTA/IPTS, etnik Sabah, jabatan kerajaan dan pelbagai lagi.

Antara yang mendapat sambutan setiap tahun adalah perbarisan dan perarakan aset-aset keselamatan negara oleh Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat Malaysia.

Sambutan yang bermula pada pukul 7.30 pagi dengan nyanyian lagu-lagu patriotik itu menampilkan kelainan apabila buat pertama kali finalis Unduk Ngadau 2019 menyertai perarakan serta pemain bola sepak Sabah yang membawa Piala Liga Perdana.

Juara Unduk Ngadau 2019, Francisca Ester Nain ketika ditemui Borneo Today berkata, sebagai rakyat Malaysia, hadir ke sambutan Hari Kebangsaan adalah salah satu cara untuk memupuk semangat patriotik.

“Sempena Hari Kebangsaan Ke 62 kami Unduk Ngadau Sabah ingin mengucapkan selamat hari merdeka kepada seluruh rakyat Malaysia. Bagaimana kita mahu tunjukkan semangat patriotik sebagai seorang warganegara adalah salah satu cara dengan mengikuti aktiviti seperti ini iaitu perarakan kemerdekaan,” katanya.

Sementara itu, Unduk Ngadau Tamparuli 2019, Skye Judith Harding berkata, rakyat Malaysia perlu mempunyai rasa bangga kepada negara ini dan bersyukur dengan kemerdekaan yang dicapai.

“Terlebih dahulu kita perlu ada rasa bangga sebab kita sudah mencapai kemerdekaan, terima kasih kepada kita punya nenek moyang dengan itu kita boleh menanam, memupuk semangat patriotik melalui sambutan setiap tahun,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *