Sarapan Percuma Bermula Tahun Depan – Maszlee

Maszlee Malik (kiri) beramah mesra dengan pelajar OKU pembelajaran ketika lawatan ke SMK Merbok. Foto Amran Hamid


Program sarapan percuma yang akan bermula tahun hadapan bukan sahaja mampu membantu pelajar, tetapi melatih kesedaran sivik dan disiplin dalam kalangan pelajar.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, ia bagi memastikan pelajar membesar dalam keadaan sihat serta berdisiplin dan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.

“Kita bukan sahaja memberi makanan berkhasiat dalam membentuk generasi baru yang sihat, malah mendidik anak-anak mengenai sivik dan disiplin.

“Sebelum makan basuh tangan, lepas makan kena kemas. Mereka semua ini akan makan bersama guru,” katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok, hari ini.

Ketika ditanya sama ada pelajar dari keluarga golongan B40 sahaja yang akan menikmatinya, Maszlee berkata, ia adalah untuk semua pelajar.

“Semua pelajar akan dapat. Pelajar sesi pagi akan menikmati sarapan.

“Malah, begitu juga pelajar sesi petang,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Sarawak,Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai peruntukkan sekolah daif sarawak yang masih belum diterima, Maszlee berkata, pihaknya akan meminta Kementerian Kewangan mempercepatkan proses peruntukkan itu.

Beliau berkata,sekiranya peruntukkan itu ‘diturunkan’ oleh Kementerian Kewangan, pihaknya akan terus melaksanakan projek itu.

“Bagi pihak kita, bila duit itu ‘diturunkan’, kita akan terus melakukan pelaksanaan, sekarang, bergantung kepada Kementerian Kewangan.

“Justeru, kita berharap Kementerian Kewangan dapat melakukan proses sepatutnya dan mempercepatkan proses itu,” katanya

Sebelum ini, timbul isu apabila Abang Johari mendakwa kerajaan sebagai ‘pembulak’ (menipu) kerana masih belum memberikan peruntukan sekolah daif di Sarawak meskipun kerajaan negeri sudah membayar hutang kepada kerajaan persekutuan seperti dijanjikan.

Harian Metro