Jangan Tertipu Dengan Projek Penanaman Guarana Di Sabah – Junz Wong

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Junz Wong

KOTA KINABALU, 26 Ogos: Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Junz Wong mengingatkan orang ramai terutama petani agar tidak tertipu dengan projek penanaman Guarana di Sabah.

Beliau berkata sehingga kini kementeriannya tidak pernah meluluskan mana-mana permohonan untuk membawa masuk tanaman Guarana ke Sabah.

“Pada ketika ini, kementerian saya melalui Jabatan Pertanian tidak pernah meluluskan permohonan permit mengimport benih Guarana ke Sabah. Oleh itu, sebarang penanaman Guarana di Sabah merupakan kemasukan benih secara haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai penyebaran “Borang Permohonan Menyertai Projek Penanaman Guarana” menggunakan surat Persatuan Industri dan Asas Tani Sabah (PINTAS).

Junz berkata buat masa ini, guarana tidak termasuk dalam kategori tanaman yang dipromosi sebagai penjana ekonomi dan mana-mana tanaman baharu yang akan diperkenalkan perlu melalui proses penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.

Beliau berkata di bawah Akta Kuarantin 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, kawasan komponen Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah telah menetapkan prosedur untuk membawa masuk Guarana yang mana tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan  wajib mendapat Permit Import Tumbuhan. 

Beliau mengingatkan orang ramai sekiranya mempunyai keraguan dan memerlukan keterangan lanjut mengenai tanaman Guarana hendaklah merujuk terus kepada Jabatan Pertanian Sabah.

BERNAMA