BENGALURU: Harga emas melonjak ke paras tertinggi enam tahun hari ini susulan pengumuman tarif baharu dalam perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang menyebabkan pasaran saham merudum, dan pelabur bergegas beralih kepada aset yang selamat.
Harga emas semerta melonjak 1.2 peratus kepada AS$1,544 satu auns pada 0141 GMT, yang mana ia sebelum itu mencecah AS$1,554.56 satu auns, paras tertinggi sejak April 2013.
Niaga hadapan emas AS. naik 1.1 peratus pada AS$1,554.90 satu auns.
Jumaat lalu, Presiden Donald Trump mengumumkan duti tambahan lima peratus ke atas import China bernilai $550 bilion, beberapa jam selepas China mengenakan tarif balas terhadap produk AS bernilai AS$75 bilion.
Ini menyebabkan pasaran saham AS merudum pada Jumaat, dengan Nasdaq Composite turun tiga peratus, dan S&P 500 susut 2.6 peratus.
Pagi ini, indeks Nikkei dan MSCI jatuh ketara.
SPDR Gold Trust, dana tukaran dagangan bersandarkan emas terbesar di dunia, berkata pegangannya naik 0.58 peratus kepada 859.83 tan pada Jumaat.
Pengurus dana lindung nilai dan pengurus wang meningkat pendirian bulis terhadap emas COMEX dan meningkatkan kedudukan bersih jangka panjang dalam kontrak perak pada minggu berakhir 20 Ogos, kata Suruhanjaya Dagangan Hadapan Komoditi (CFTC) AS Jumaat.
Minggu lalu, sebahagian besar hub Asia mengalami peningkatan dalam permintaan emas fizikal apabila pengguna mengambil kesempatan daripada penurunan harga. – Reuters