
BELURAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM170 juta untuk pembinaan projek hybrid solar bagi membekalkan elektrik di Paitan dan Sugut.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata peruntukan itu memberi manfaat kepada 2,500 rumah di sekitar kawasan berkenaan yang akan dimulakan pada tahun hadapan.
“Projek ini akan memanfaatkan 2,500 rumah di sini dan akan dimulakan pada tahun hadapan.
“Ia mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan dan sekarang tengah proses untuk reka bentuk,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bangunan Pusat Komuniti Paitan, di Beluran, hari ini.
Rina dalam pada itu turut mengulas berhubung potensi di Paitan sebagai kawasan pelancongan untuk menjana pendapatan terutamanya penduduk sekitar.
“Sepanjang perjalanan ke Paitan, saya lihat penuh dengan kehijauan dan ia sesuatu yang positif yang boleh dijadikan sumber pendapatan khususnya melalui pelancongan.
“Ini boleh dijadikan tarikan pelancongan… saya harap sempena Tahun Melawat Malaysia ini (tahun 2020) kita gunakan peluang dalam memajukan kawasan luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Rina menyifatkan individu yang memasang bendera terbalik sebagai tidak layak menjadi warganegara.
Sejak semalam, kecoh di media sosial mengenai tindakan tidak bertanggungjawab memasang bendera Malaysia secara terbalik.
Berita Harian