Polis Tahan Pemandu Kereta Sewa Selepas Cabul Remaja Perempuan Di Tanjung Aru

Sekadar Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Pemandu kereta sewa ditahan polis selepas mencabul kehormatan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dalam kereta di tepi Jalan Bunga Raja Kayu, Tanjung Aru di Kota Kinabalu pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, lelaki berusia lingkuan 20-an terbabit didakwa berbuat demikian ketika remaja berkenaan menaiki kereta sewa miliknya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati mangsa menaiki bas dari Kota Belud untuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Bagaimanapun, menurutnya, mangsa terpaksa turun di Terminal Bas Bandaran sebelum mendapatkan kereta sewa untuk menyambung perjalanan ke HQE selepas pemandu bas memberi alasan terpaksa pulang atas urusan penting.

“Mangsa dikatakan mendapatkan kereta sewa Perodua Kancil milik suspek untuk meneruskan perjalanan ke HQE.

“Sebaik tiba di kawasan kejadian, suspek tiba-tiba memberhentikan kenderaannya dan terus memegang paha kanan pengadu.

“Mangsa yang terkejut terus memarahi suspek,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Habibi berkata, mangsa berpura-pura memberitahu dia sudah bertunang dan menunjukkan gambar abangnya dipercayai untuk mengelakkan suspek bertindak agresif.

Menurutnya, suspek sebaliknya mendakwa mengenali orang di dalam gambar berkenaan dan memberitahu pernah bersekolah dengannya sebelum ini di Kota Belud.

“Selepas turun dari kenderaan, mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan lelaki itu berjaya ditahan pada 2.05 petang keesokan harinya untuk siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Harian Metro

50