Indonesia Sekat Akses Internet Di Timur Papua

JAKARTA: Indonesia bertindak menyekat akses ke internet di timur Papua, bagi menghalang mesej berbaur hasutan daripada dimuat naik, sekali gus meningkatkan insiden keganasan di wilayah itu.

Keputusan itu dibuat selepas penunjuk perasaan membakar beberapa bangunan, pasar dan penjara, berikutan layanan tidak sewajarnya terhadap golongan pelajar dan insiden diskriminasi etnik.

Polis turut menghantar 1,200 anggota tambahan ke Papua bagi mengawal keganasan di beberapa bandar, termasuk Timika sejak Isnin lalu.

Timika adalah lokasi berhampiran lombong tembaga, Grasberg, yang dikendalikan oleh satu unit syarikat perlombongan, Freeport McMoran di Indonesia, selain di Manokwari, Sorong dan Fakfak.

Menteri Keselamatan, ketua polis dan komander tentera dilaporkan tiba Sorong hari ini, bagi memantau keadaan tetapi tiada demonstrasi dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan.

Walaupun, gerakan puak pemisah berlaku di Papua sejak beberapa dekad lalu, tetapi aduan semakin meningkat mengenai pelanggaran hak asasi oleh pasukan keselamatan Indonesia.

Dalam insiden terbaharu yang mencetuskan kemarahan penduduk tempatan dipercayai membabitkan serangan perkauman terhadap pelajar Papua, yang ditahan minggu lalu.

Pelajar terbabit dilaporkan ditahan di asrama mereka di Surabaya, Jawa Barat kerana dilaporkan tidak menghormati bendera Indonesia pada majlis sambutan Hari Kebangsaan negara itu. – Reuters