Tiada Dokumen Baru IMM13 Atau Kewarganegaraan Diberikan

RANAU: Cadangan Kementerian Dalam Negeri mewujudkan satu dokumen khas bagi menggantikan Kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), burung-burung dan kad Jabatan Ketua Menteri (JKM) adalah untuk tujuan penyelarasan dan mengelakkan penipuan bukannya memberi kewarganegaraan kepada warga asing.

Demikian ditegaskan Timbalan Menterinya, Datuk Mohd. Azis Jamman selepas masih ada pihak yang cuba memutar belit fakta kononnya kerajaan negeri Sabah mengeluarkan dokumen kerakyatan kepada warga asing di negeri ini.

Tegas beliau, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada warga asing cuma apa yang boleh dilakukan adalah memastikan semua warga asing yang telah memegang ketiga-tiga dokumen berkenaan sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dapat diuruskan dengan baik melalui penggunaan satu kad sahaja.

“Apa yang saya sebutkan ialah kita tidak membuka pendaftaran baharu untuk IMM13 tetapi kita bercadang untuk mengubah sekarang di Sabah ada tiga dokumen satu IMM13 yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, kemudian JKM serta burung-burung dikeluarkan oleh kerajaan negeri jadi tidak ada penyelarasan.

“Realiti dia daripada segi proses undang-undang bila mana Imigresen buat operasi contohnya, masuk ke kampung-kampung untuk membuat operasi menangkap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) contohnya, Imigresen tangkap orang yang memegang dokumen burung-burung yang dikeluarkan kerajaan negeri Sabah.

“Perlu diingat burung-burung ini atau pun kad JKM dikeluarkan semasa kerajaan terdahulu bukan kerajaan Warisan yang keluarkan dan dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu jadi bila Imegresen membuat tangkapan kepada orang yang membuat dokumen ini daripada segi undang-undang Imigresen tidak mengiktiraf dokumen ini sebab tiada penyelarasan,” katanya kepada Borneo Today semasa Kem Pemantapan Pasukan Majlis Tertinggi ‘Team Building’ Sayap Parti Warisan di Kem Bina Negara Kundasang hari ini.

Mohd. Azis berkata, cadangan pengeluaran satu dokumen itu bagaimanapun masih di peringkat perbincangan dalam jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau sendiri dan turut diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah serta pegawai-pegawai kanan negeri dan Persekutuan.

Menurut beliau, langkah mewujudkan satu dokumen bagi menggantikan IMM13, burung-burung dan kad JKM itu juga perlu bagi mengelakkan pengeluaran dokumen-dokumen palsu yang berleluasa ketika ini.

“Hari ini contohnya IMM13 banyak palsu yang tak boleh dibezakan asli atau palsu, sebab itu saya sebut dalam kenyatan saya kita dalam proses mengkaji dan mewujudkan satu dokumen baharu yang masih belum diputuskan masih lagi menunggu perbincangan antara negeri dan Pusat, mansuhkan kad JKM dan juga burung-burung, juga termasuk IMM13, kita jadikan satu dokumen yang mana negeri dan Pusat selaraskan.

“Tapi masih di putar belit yang kononnya kita bagi lagi dokumen IMM13 ini sebenarnya tidak betul sebab itulah kita terangkan ini kepada sayap parti khususnya di kawasan KDMR kerana stigma ini banyak disebut di kawasan KDMR, jadi kita berharap juga pemimpin-peimpin khususnya datang daripada KDMR ini untuk memainkan peranan menjelaskan perkara ini,” jelas beliau.

BorneoToday


150