7 Hak Sabah Dalam Perjanjian MA63 Telah Dipersetujui

Tun Mahathir

PUTRAJAYA: Proses pelaksaan hak-hak Sabah dan Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berada di landasan positif, malah tujuh daripada 21 perkara yang dibincangkan oleh Kerajaan Persekutuan dengan Sabah serta Sarawak telah pun mendapat persetujuan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, perkara pertama adalah hak tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan di Sabah yang telah pun dipersetujui untuk diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Sabah.

SHAFIE APDAL

Menurut kenyataan itu, hak kedua ialah berkaitan hak kawal selia gas dan elektrik di mana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah bersetuju supaya Sabah membuat penelitian terperinci sebelum diserahkan.

“Ketiga, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pemantapan Kolaborasi Pelaksanaan Projek Persekutuan bagi membincangkan
mekanisme pelaksanaan projek Persekutuan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan mengambil maklum cadangan di dalam jawatankuasa antara kerajaan.

ABANG JOHARI

“Keempat, Kerajaan Persekutuan secara prinsipnya tiada halangan melaksanakan tuntutan berhubung penurunan kuasa kepada kerajaan negeri Sarawak dan Sabah bagi membuat perundangan subsidiari mengenai soal buruh di bawah Ordinan Buruh negeri masing-masing, tindakan sedang diambil bagi meminda Ordinan Buruh negeri masing-masing,” kata kenyataan itu.

Katanya, perkara kelima adalah berkaitan kesihatan iaitu Kerajaan Persekutuan dan kedua-dua negeri bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Libat Urus secara berkala untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan isu pengurusan kesihatan Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, perkara keenam membabitkan pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan iaitu secara prinsipnya penyerahan kuasa urus tadbir kedua-dua pulau khususnya berkaitan pelancongan kepada kerajaan negeri Sabah telah dipersetujui, cuma isu teknikal dan keselamatan sedang diperhalusi.

“Perkara ketujuh ialah isu pertanian dan perhutanan yang digugurkan dalam mesyuarat jawatankuasa kerana kedua-dua perkara itu telah pun diletakkan di bawah senarai negeri,” jelas pejabat itu.

Kenyataan itu berkata, mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang keempat telah diadakan pada 23 Julai 2019 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dihadiri wakil Kabinet Persekutuan, Sarawak serta wakil Sabah termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Jelasnya, Jawatankuasa Khas Kabinet itu dibantu oleh Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja dan diurus setiakan oleh pasukan petugas khas dikenali sebagai Taskforce MA63.

“Mesyuarat pertama telah diadakan pada 17 Disember 2018 dan 21 isu telah diterima oleh Jawatankuasa Khas Kabinet ini untuk diteliti dan dikaji. Tiga belas isu tuntutan dikenal pasti sebagai isu bersama melibatkan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah manakala lapan isu lain melibatkan tuntutan kerajaan negeri Sabah sahaja,” tambahnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *