Dr Zakir Naik Akan Disekat Ke Sabah Jika Ada Unsur Ekstremis Agama – Shafie

PAPAR: Kerajaan negeri Sabah tidak teragak-agak untuk menyekat pendakwah terkenal Dr Zakir Naik daripada memasuki Sabah sekiranya terdapat laporan pendakwah itu menggunakan unsur-unsur ekstremis dalam isu keagamaan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bagaimanapun berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang laporan daripada pihak jabatan agama negeri berhubung perkara itu.

“Saya akan dapatkan laporan dari pihak agama kalau sekiranya itu cukup jelas, kita tidak teragak-agak untuk menghalang (Zakir).

“Jika itu terbukti, kita akan mengambil tindakan sewajarnya. Ini bidang kuasa kerajaan negeri, tetapi belum sampai ke pengetahuan saya,” katanya selepas majlis penyerahan borang keahlian Parti Warisan di Kampung Biau, di sini.

Sarawak dilaporkan telah menghalang pendakwah berkenaan daripada memasuki negeri itu.

Zakir, warga India, yang dikehendaki di negara asalnya, atas tuduhan pengubahan wang haram, turut dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap masyarakat Cina di Malaysia sebagai respons kepada desakan supaya beliau diusir dari negara ini. – BERNAMA