Bidaan Siri Nombor Pendaftaran Kenderaan SYD Secara Online Dibuka Esok

Mohd Rusdi (dua kiri) bersama Sadim (tengah) pada sidang media hari ini. – Gambar Facebook JPJ Negeri Sabah

PENAMPANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah menyasarkan jumlah kutipan bidaan bagi siri nombor pendaftaran kenderaan baharu SYD 1 hingga SYD 9999 lebih daripada RM1.5 juta apabila bidaan itu dibuka kepada orang awam selama lima hari bermula jam 12 tengah malam esok. (15 Ogos)

Pengarah JPJ Sabah Sadim Abdul berkata bidaan itu dilaksanakan melalui sistem JPJeBid yang pertama kali digunakan di Sabah bagi menggantikan sistem manual yang digunakan sebelum ini.

“Bagi yang pertama kali menggunakan sistem ini, mereka perlu mendaftar di dalam portal JPJeBid sebelum boleh membuat bidaan dan kaedah bayaran bidaan ialah dengan menggunakan kredit kad atau kad debit tempatan sahaja,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus di Ibu Pejabat JPJ, di sini hari ini.

Sadim berkata pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran perkhidmatan sebanyak RM10 bagi setiap nombor yang dibida.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan sementara bagi perniagaan/syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan.

“Pelaksanaan sistem ini (JPJeBid) adalah salah satu usaha pihak JPJ untuk memberikan perkhidmatan yang lebih telus dan cepat kepada orang ramai selain tiada unsur-unsur campur tangan manusia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rusdi berkata setakat ini lebih RM11.6 juta telah dikutip sejak sistem itu dilaksanakan dan Putrajaya mencatat kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM3.2 juta diikuti Wilayah Persekutuan RM1.3 juta.

Beliau berkata sejak sistem itu dilaksanakan sebelum ini setiap masalah yang dihadapi telah diatasi dan keputusan bidaan akan diketahui selewat-lewatnya jam 12 tengah hari keesokan hari selepas tamat tempoh bidaan.

Katanya, banyak masalah yang dihadapi sebelum ini melibatkan pembida yang terlupa kata laluan atau tersalah huruf emel menyebabkan pembida tidak dapat mendaftarkan akaun masing-masing.

“Pihak JPJ telah memperbaiki penggunaan sistem ini berdasarkan masalah yang dihadapi sebelum ini tetapi jika pembida menghadapi sebarang masalah sepanjang tempoh bidaan ini berlangsung, mereka boleh membuat laporan ke [email protected],” katanya. – Bernama