Christina Sokong Cadangan Jadikan Taman Safari Produk Pelancongan Baharu Di Sabah

Christina (empat kanan) diiringi oleh rombongan Kepkas dan beberapa wakil Kerajaan Indonesia merakam gambar kenangan di Taman Negara Gunung Gede Pangrango di Jawa Barat.

BOGOR: Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew menyatakan sokongan berkaitan cadangan kerajaan negeri yang menjadikan Taman Safari sebagai produk pelancongan baharu di negeri Sabah.

Beliau berkata, cadangan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu adalah satu usaha yang cukup baik dalam menarik pelancong sekali gus memulihara habitat hidupan liar.

 Rocky berusia 40 tahun (asalnya dari Zoo Afrika) adalah spesies kuda nil yang tertua di Bogor.
JINAK: Rocky berusia 40 tahun (asalnya dari Zoo Afrika) adalah spesies kuda nil yang tertua di Bogor.

“Kita boleh menjaga kelangsungan hidupan liar, terutamanya haiwan yang diancam kepupusan yang ada di Taman Safari.

“Pada masa sama, kita memberi peluang kepada pelawat dan pelancong melihat habitat semula jadi haiwan yang ada di dalam hutan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas lawatan selama tiga jam di Taman Safari Bogor, Indonesia yang terkenal dengan tema ‘Save Our Wildlife’.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, Kerajaan Sabah akan mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk habitat hidupan liar dan program pembiakan, khususnya untuk spesies haiwan terancam.

Katanya, kawasan yang terpilih itu juga akan berpotensi menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Ahad lalu, Shafie memberitahu pemberita usaha itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melindungi dan memastikan kelangsungan hidupan liar yang menjadi harta kepada negara.

Semasa lawatan Christina di Taman Safari Bogor, beliau ditemani oleh Ketua Pegawai Operasi Bapak Alexander Nayoan.  

Taman yang terletak di kawasan pergunungan Cisarua, Kabupaten Bogo di Jawa Barat itu adalah tempat habitat haiwan liar yang sudah menjadi destinasi popular di negara itu.

Menurut Bapak Alexander, Taman Safari Bogor bermula sejak tahun 1985, yang mana menjadi rumah kepada 3,000 haiwan yang mewakili 300 spesies, termasuk haiwan terancam.

Katanya, pelbagai jenis spesis haiwan diperoleh dari negara seperti China, India, Afrika, Eropah, Australia dan Amerika Syarikat di bawah program pertukaran.

“Kita juga menerima jumlah pelawat harian seramai kira-kira 5,000 hingga 12,000 orang, bergantung kepada musim cuti di Indonesia dan negara lain seperti Timur Tengah, AS, Eropah dan Malaysia,” katanya.

Jelasnya, Taman Safari Bogor pernah memenangi anugerah sebagai salah satu daripada empat taman safari terkenal di Indonesia, termasuk di Taman Safari Prigen di Jawa Timur, Safari Taman Laut Bali dan Taman Safari Jawa Tengah.

Sementara itu, Pengarah Taman Safari Bogor Bapak Drs Jansen Manansang, yang juga pemilik taman itu, sempat membawa Christina melihat sekitar kawasan Istana Panda (kandang sepasang panda dari China), bersebelahan taman berkenaan.

Turut mengiringi Christina ialah Setiausaha Tetap KepKas William Baya, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Noredah Othman, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga, Pengurus Pemasaran STB (Indonesia) Bobby Alex dan Setiausaha Persendirian Helen Muhammari.

Turut hadir ialah Konsul Bapak Cahyono Rustam dari Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, yang mewakili Konsul Jenderal Bapak Krishna Djelani dan wakil Konsul Bapak Sartono Hendrarso.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *