Saya Malu Tandas Malaysia Tak Bersih Dan Busuk – Tun M

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan 2019 di Putrajaya, hari ini. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad malu dengan keadaan tandas di negara ini yang tidak bersih dan busuk sekali gus mencerminkan sikap rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kesedaran sivik.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga berdepan masalah sivik dalam kalangan masyarakat yang melakukan pelbagai perkara yang tidak baik seperti membuang sampah merata-rata dan mencuri air, elektrik dan lampu jalan.

“Kalau kita pergi ke negara tertentu, tandas awam mereka, amat bersih. Ia bersih kerana pengguna tidak kotorkan keadaan. Kenapa? Dia rasa bertanggungjawab dan menghargai pandangan masyarakat terhadap diri. Dengan itu dia akan jaga supaya dirinya memang bersih, dan tidak lakukan sesuatu yang mengotorkan.

“Tandas di Malaysia.. saya malu kerana saya sering kali pergi buat ‘inspection’ tandas di Malaysia untuk tengok bersih atau tidak dan biasanya tidak dan busuk.

“Itu mencerminkan sifat yang ada pada kita, sepatutnya kita berasa malu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, keadaan juga diburukkan dengan masalah pembuangan sampah merata-raya, contengan grafiti pada dinding yang mencemarkan pemandangan.

“Sekarang ini sampah dibuang merata tempat dan kerana itu kita tak dapat kebersihan yang kita idamkan. Ya kita nak keadaan sekeliling bersih, tapi kita yang kotorkan, ini berlaku kerana kita tiada nilai sivik yang tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri bagaimanapun memuji kesungguhan semua pihak yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban sejak 4 Ogos lalu, dan menyifatkan ia contoh pegangan nilai sivik yang tinggi dalam masyarakat.

“Ada orang sanggup ketepikan (cuti) Hari Raya Haji untuk cari wanita hilang itu. Ini menunjukkan pegangan nilai sivik yang tinggi dalam kalangan kita, kalau kita mempunyai nilai sivik tinggi maka keadaan sekeliling kita akan menjadi amat baik,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *