KPLB Raikan Acara Keagamaan Bersama Penduduk Kampung Sejahtera Dan Mesej

KOTA BELUD, 12 Ogos: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah memperkenalkan pendekatan baharu meraikan sambutan keagamaan dan kebudayaan bersama penduduk di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Kampung Sejahtera di seluruh Sabah.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata pendekatan yang baru diperkenalkan tahun ini itu berbentuk program komuniti yang bertujuan melihat prestasi kemajuan serta mendengar aspirasi penduduk di MESEJ dan Kampung Sejahtera.

Ewon menyampaikan daging korban kepada salah seorang penduduk kampung pada majlis itu. Gambar Ewon Benedik

Katanya pada masa yang sama ia memberi peluang kepada pihak kementerian untuk mendengar luahan hati dan permohonan penduduk kampung.

“Kita telah memulakan majlis berbuka puasa semasa bulan Ramadan lepas di perkampungan MESEJ Bunang, Keningau dan sempena Hari Raya Aidiladha hari ini, kita meraikan sambutan ini di Kampung Sejahtera Song Song, Usukan, Kota Belud,” katanya.

Gambar Ewon Benedick

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pemimpin bersama rakyat sempena Hari Raya Aidiladha di Kampung Sejahtera Song-Song Kota Belud, di sini, hari ini.

Beliau berkata untuk acara sambutan Krismas dan Kaamatan yang akan datang, ia akan diadakan di kampung lain di bawah program Kampung Sejahtera atau MESEJ.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata sehingga kini, KPLB Sabah mempunyai 53 buah perkampungan MESEJ dan 55 buah Kampung Sejahtera di seluruh Sabah.

Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampung Song Song, KPLB Sabah melalui Kelab Rekreasi kementerian itu menyumbangkan dua ekor lembu melalui Pejabat Daerah Kota Belud untuk diagihkan kepada golongan asnaf dan penduduk di kampung tersebut.

Turut hadir Adun Usukan Datuk Japlin Akim, Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Aftar Nurajat dan Pegawai Daerah Kota Belud Hajah Diyanah Abdullah.

BERNAMA