Kanak-Kanak Lelaki Maut Dilanggar Kereta Dipandu Bapa Saudara

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas dilanggar kenderaan yang dipandu oleh bapa saudaranya di Kampung Long Danau, Silabukan, dekat sini semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, lelaki berusia 37 tahun yang memandu kenderaan jenis Toyota Land Cruiser berkenaan difahamkan berkunjung ke rumah keluarga mangsa sempena Aidiladha.

Ketika mahu pulang, bapa saudara kanak-kanak itu dikatakan secara tidak sengaja terlanggar mangsa yang keluar dari rumah tanpa pengawasan ahli keluarga lain.

Ketua Polis Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansur, berkata hasil siasatan awal mendapati, bapa saudara mangsa kemudian menyedari terlanggar sesuatu sebelum keluar untuk memeriksa dan melihat anak saudaranya terbaring di sebelah kiri tayar depan.

“Mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu oleh ahli keluarganya, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Pihak hospital mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, siasatan mendapati, kemalangan berpunca daripada kanak-kanak itu yang dipercayai keluar dari pintu pagar rumah tanpa pengawasan orang dewasa sehingga menyebabkan kemalangan berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

32