Lima Ditahan Terlibat Pergaduhan Rebut Teman Wanita, Dua Lagi Diburu

Lima suspek yang ditahan bagi membantu siasatan merusuh dan memukul seorang lelaki. Gambar BESTAWAUFM

LAHAD DATU: Gara-gara merebutkan cinta seorang wanita, lima lelaki ditahan manakala dua lagi masih diburu polis dipercayai terbabit dalam rusuhan dan memukul seorang lelaki di kawasan Sri Perdana, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata suspek berusia 18 hingga 25 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah, di Taman Aman 3, kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 19 tahun sedang turun dari rumah sewanya di kawasan rumah kedai Sri Perdana, kira-kira pukul 2.45 petang, semalam

Mangsa menunjukkan kecederaan di bahagian muka. Gambar BESTAWAUFM

“Mangsa yang sedang menuju masuk ke dalam kereta kemudian didatangi tujuh suspek lalu memukul mangsa di bahagian kepala, mulut dan belakang.

“Akibat pukulan itu, mangsa mengalami bengkak di bahagian kepala, mulut dan sakit di bahagian belakang badan sebelah kiri dan pinggang sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku akibat merebutkan seorang wanita berusia dalam lingkungan 18 tahun.

“Semua suspek kini direman bermula hari ini manakala dua lagi suspek sedang diburu.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *