Indonesia Pindah Ibu Negara Ke Kalimantan, Sabah Perlu Persiapkan Diri

KOTA KINABALU: Limpahan ekonomi daripada langkah Indonesia memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Kalimantan akan melanda Sabah, justeru persediaan perlu dilakukan sebaik mungkin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sektor pelancongan adalah yang paling utama kerana dijangka lebih banyak pelancong Indonesia akan melawat Sabah jika langkah tersebut dilaksanakan.

“Pasti limpahan itu ada dan sudah tentu kita perlu persiapkan diri dalam dunia yang sangat berdaya saing kerana bayangkan mereka akan membawa berbilion nilai wang untuk membangunkan kawasan itu.

“Bercakap tentang pelancongan kita mesti pastikan kapasiti ditingkatkan bukan sahaja produk pelancongan tetapi menerima kemasukkan lebih banyak pelancong,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, beliau menaruh kepercayaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk berunding dengan Indonesia bagaimana proses tersebut perlu dilaksanakan.

Apa yang pasti katanya, Singapura sebelum ini menerima limpahan daripada kedudukannya yang berdekatan dengan Jakarta, justeru Sabah perlu mempelajarinya dan melihat kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama Indonesia untuk kebaikan kedua-dua pihak.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *