Bantuan Sara Hidup Fasa Ketiga Akan Dibayar Mulai 28 Ogos

PUTRAJAYA: Pembayaran fasa ketiga Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 akan dilaksana mulai 28 Ogos ini membabitkan hampir 3.6 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM1.23 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing menggunakan akaun bank sama ketika pembayaran fasa kedua BSH.

“Bagi fasa ketiga, pendapatan isi rumah bawah RM2,000 akan menerima BSH berjumlah RM400, pendapatan isi rumah RM2,001 hingga RM3,000 (RM300), manakala pendapatan isi rumah RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima RM100.

“Sejumlah RM2.85 bilion sudah disalurkan bagi bayaran fasa pertama (Januari 2019) dan kedua (Mei 2019) BSH 2019 kepada isi rumah yang diluluskan.

“Ia termasuk bayaran kadar tambahan sebanyak RM120 bagi setiap anak tanggungan, terhad kepada maksimum empat anak. Anak tanggungan merujuk kepada anak berumur 18 tahun dan ke bawah dan juga anak Orang Kurang Upaya tanpa had umur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos ini dan pembayaran bagi mereka yang diluluskan rayuannya dijangka akan dibuat pada September depan.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada [email protected],” katanya.

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, kerajaan meneruskan program BSH demi kesejahteraan ekonomi rakyat, dengan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) bagi meringankan kos sara hidup.