Tuduhan Tidak Berasas Dilemparkan Berkenaan Balak Di Sabah

KOTA KINABALU: Beberapa pihak yang didalangi individu tertentu nampaknya masih berterusan dan sengaja memburuk-burukkan kerajaan Sabah dan Parti Warisan melalui tuduhan-tuduhan tidak berasas.

Terbaru, insiden kemalangan sebuah lori balak yang sarat dengan muatan balak di Jalan Sapulut-Kalabakan pula dijadikan modal mereka untuk melakukan dakyah penyebaran berita yang tidak benar dan kotor.

Gambar kemalangan itu telah disebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp dan mengaitkan nama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

Berikutan dakwaan itu, BorneoToday telah menghubungi pihak berkuasa tertentu untuk melakukan siasatan dan mendapatkan kebenaran.

Maklumat yang diperoleh mendapati syarikat terbabit merupakan pemegang lesen jangka panjang (SFMLA) di bawah Unit Pengurusan Hutan (FMU) yang dikeluarkan semasa Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Musa Aman, bekas Ketua Menteri, memerintah.

Semua syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa telah dipatuhi oleh syarikat berkenaan termasuk lori yang digunakan mempunyai permit yang sah.

Meskipun begitu, sejak Shafie mengambil tampuk pemerintahan, kesemua syarikat pemegang konsesi lesen FMU telah dilarang menjual balak ke luar negara, sebaliknya kebenaran mengeluarkan hasil hutan itu hanya untuk tujuan industri tempatan.

Perlu diberi penekanan bahawa, selain melarang balak daripada dieksport, Shafie juga tidak pernah meluluskan lesen baharu kepada mana-mana syarikat swasta untuk membalak.

Syarikat konsesi yang ada sekarang telah beroperasi selama berpuluh tahun dan dimonopoli pemimpin tertentu bersama kroni masing-masing untuk mengaut kekayaan.

Shafie yang dibantu pimpinan negeri kini sedang berusaha mengkaji penguasaan syarikat-syarikat berkenaan, dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Dalam hal ini, Yayasan Sabah telah diberikan peranan sepenuhnya menguruskan balak negeri dan dana yang diperoleh akan digunakan untuk membangunkan Sabah terutama sektor pendidikan.

Terdapat tiga syarikat yang terlibat dalam FMU berkenaan iaitu First Greenworld Sdn Bhd, Zillion Future Sdn Bhd dan Top Quantum Sdn Bhd. Kesemuanya dimiliki Dato’ Lee Syuk Ming, seorang ahli perniagaan wanita. Ahli Lembaga Pengarah lain bagi ketiga-tiga syarikat berkenaan terdiri daripada Wong Lap Li, Wong Keng Fui dan seorang warga Taiwan, Hou Wen-Tung.

First Greenworld diberikan konsesi untuk keluasan 15,000 hektar sepanjang 50 tahun dari 15 Jun, 2009 hingga 30 Jun, 2059.

Zillion Future pula diberikan konsesi seluas 10,000 hektar untuk tempoh 100 tahun bermula dari 26 Nov, 2014.

Top Quantum memiliki konsesi untuk 10,000 hektar bagi 50 tahun bermula dari 15 Jun, 2009.

BorneoToday